Tuah bersama Kedah
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
sukan@kosmo.com.my
PENYERANG Terengganu, Mohd. Ashari Samsuddin (kanan) melepasi kawalan pertahanan Kedah, V. Thirumurugan pada aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.
"TUAH masih bersama kami."
Demikian luahan jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas pasukannya terpaksa berhempas-pulas bagi mencipta kemenangan mutlak ke atas Terengganu dengan agregat 3-2 selepas tewas 0-2 pada perla- wanan separuh akhir kedua saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.
Pasukan Hijau Kuning yang membawa bekalan selesa 3-0 terpaksa akur dengan kebangkitan lawan yang tidak kurang hebatnya.
Menurut Azraai, tuah yang dimaksudkannya itu berhasil setelah pemainnya berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak berasa tertekan biarpun beraksi di tempat lawan.
Katanya, walaupun lawan agak agresif, tetapi kekuatan mental yang ada pada pemain Kedah dapat mengawal perlawanan tersebut sebelum keputusan muktamad berpihak kepada pasukannya melalui kiraan agregat.
"Mereka (pemain) telah bermain dengan cemerlang ketika menyerang, cuma jari- ngan saja yang tidak dapat dihasilkan kerana cubaan yang dilakukan berjaya dapat disekat oleh pemain lawan.
"Saya juga bersyukur kerana tiada pemain yang tercedera atau dilayangkan kad kuning dalam perlawanan itu dan mereka tidak mengalami masalah untuk beraksi pada perlawanan akhir (Piala Malaysia) nanti," kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, pemain tengah skuad Kenari, Fauzi Shaari juga dilihat telah kembali cergas apabila berjaya mempamerkan persembahan yang menarik pada perlawanan kelmarin.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua gol Terengganu diperoleh menerusi Mohd. Ashari Samsuddin pada minit keenam dan ke-43.
Sementara itu, Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz mengucap tahniah kepada barisan pemain Kedah termasuk jurulatih dan penolong jurulatih di atas kejayaan skuad Hijau Kuning layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini.
Menurutnya, kejayaan cemerlang pasukan Kedah beraksi dalam perlawanan akhir piala berprestij sebanyak dua musim berturut-turut adalah sesuatu yang cukup membanggakan.
Katanya, beliau percaya Kedah mampu mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sele- pas berjaya bergelar juara berganda bagi Liga Super dan Piala FA baru-baru ini.
"Antara faktor kejayaan Kedah pada musim ini ialah keserasian di kalangan pemain dan jurulatih serta semangat berpasukan yang tinggi dalam pasukan itu," ujarnya.
Kedah akan bertemu Sela- ngor pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini.