Yahya kini sengsara penyakit saraf
Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
DERITA kini ditanggung bekas tonggak pertahanan skuad bola sepak negara pada era gemilang 1970-an, Yahya Jusoh, yang lumpuh angkara sakit saraf sejak dua minggu lalu.
Yahya, 57, kini terpaksa menggunakan kerusi roda selepas penyakit yang bermula dengan ‘hanya rasa kebas di kedua-dua tangan’ pada September lalu kini mengakibatkannya tidak lagi dapat menggerakkan kaki dan tangan.
“Pada mulanya, selepas berasa kebas pada kedua-dua tangan, saya jalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Ketika itu, saya masih boleh berjalan dan memandu kereta. Tetapi sejak 10 Oktober lalu, keadaan saya jadi lebih buruk.
“Saya sudah berubat pelbagai cara termasuk menggunakan kaedah tradisonal di merata tempat termasuk di Kelantan dan Pahang tetapi masih belum ada perubahan hingga kini,” katanya.
Ramai rakan yang pernah beraksi bersamanya dalam skuad Terengganu serta kebangsaan seperti Zulkifli Hamzah, Zubir Ibrahim, Nasir Jalil dan Othman Mat Kia sudahpun berkunjung apabila mengetahui keadaan terbarunya itu.
Yahya mula mewakili negara pada tahun 1971 bersama generasi pemain hebat seperti Santokh Singh, Soh Chin Aun dan Mokhtar Dahari serta beberapa kali memenangi pingat emas Sukan Sea serta Pestabola Merdeka.
Antara kejohanan utama lain yang disertainya termasuklah pusingan kelayakan Sukan Olimpik, Piala Raja Thai serta Sukan Asia.