|
There are no translations available.
Para penyokong bolasepak Terengganu terpaksa menerima hakikat bahawa pasukan mereka musim ini hanyalah bayangan kepada pasukan yang menjuarai Piala FA musim lepas. Dengan keputusan 0-0 ketika menentang Sime Darby FC semalam satu bab yang memalukan telah ditulis dalam sejarah bolasepak Terengganu apabila akur dengan pasukan kelab tersebut dan melepaskan gelaran juara dalam pertandingan tersebut.
Kekalahan 2-1 di Kuala Terengganu dalam perlawanan pertama ternyata membawa kesan yang mendalam dan ternyata jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria bijak membuat percaturan untuk mengecewakan barisan pemain-pemain Terengganu yang diturunkan oleh Mohd Zan Mat Aris.
Ketiadaan Patrick Ronaldinho Wleh tidak sedikit pun menjejaskan Sime Darby yang tahu tekanan lebih tinggi di pihak lawan yang perlu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir. Dengan formasi 4-5-1 dengan hanya Yusof Zainal di bahagian serangan, pasukan tuan rumah kelihatan tenang untuk membiarkan Terengganu menguasai bola dan hanya melancarkan serangan balas pantas.
Barisan pemain Terengganu yang diturunkan sedar mereka perlu menjaringkan gol awal untuk meredakan tekanan dan walaupun mereka berjaya membuat beberapa gerakan yang menarik namun penyudahan yang kurang berkesan menggagalkan usaha mereka untuk membuat jaringan.
Penjaring terbanyak mereka, Francis Doe berjaya menggegar jaring pada minit ke 14 hasil dari satu sepakan sudut tetapi pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut disebabkan berlaku kesalahan sebelum itu. Selepas itu beberapa lagi peluang hadir tetapi Ashaari Shamsuddin dan Doe gagal membuat penyudahan yang boleh menghukum pasukan Sime Darby.
Ashaari kelihatan sudah penat, bukan dari segi fizikal tetapi mental apabila beberapa kali cubaan beliau untuk membuat larian yang selalunya berjaya membuka pertahanan pasukan lawan musim lepas, tetapi kali ini begitu mudah untuk dibaca dan dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan Sime Darby.
Beliau hampir juga memecah kebuntuan pada minit ke 38, tetapi seperti cubaan-cubaan lain yang dilakukan oleh pemain Terengganu, cubaan Ashaari kali ini hanya mampu menemui tiang gol dan melantun keluar. Pada minit ke 40 rembatan Ashaari gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Sime Darby, Redzuan Harun tetapi Doe gagal untuk menyambar bola yang termuntah itu.
Dari sepakan sudut tersebut bola terus tiba kepada Doe yang hanya perlu membuat tandukan lembut untuk menghalakan bola ke dalam gawang pasukan lawan tetapi dia memilih untuk membuat tandukan deras dan hasilnya bola tersebut melambung di atas palang gol. Ketika perlawanan separuh masa pertama menuju ke penghujungnya, sekali lagi peluang hadir di kaki Doe tetapi pemain tersebut hanya mampu melihat rembatannya tersasar dari gol Sime Darby.
Tiga minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula gerakan satu dua di antara Abdul Hadi Yahya dan Doe menyaksikan sekali lagi peluang hadir di kaki penyerang Liberia itu, namun sekali lagi beliau mengecewakan penyokong apabila rembatannya tersasar.
Ianya aksi terakhir Doe yang dikeluarkan oleh Mohd Zan dan digantikan oleh Ailim Fahmi. Ketika itu kebanyakan penyokong sudah dapat merasakan bahawa peluang mereka sudah semakin tertutup untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.
Dengan Sime Darby menggantikan Yusof Zainal dengan penyerang berpengalaman, Razali Umar Kandasamy untuk mengetuai barisan serangan para penyokong pasukan Terengganu tahu gol pasukan mereka mungkin akan dibolosi sekiranya barisan pertahanan tidak berhati-hati.
Kehadiran Kandasamy terus memberi impak kepada serangan Sime Darby apabila larian beliau pada minit ke 54 membuka ruang untuk Leandro Teofilo membuat rembatan yang menewaskan Sharbinee Allawee tetapi para penyokong bernafas lega apabila cubaan tersebut hanya mengenai tiang.
Barisan tengah Terengganu jelas kebuntuan bagaimana untuk mencari ruang untuk membolehkan mereka menjaringkan gol. Ismail Faruqi cuba membuat larian-larian solo yang mudah dibaca dan dipatahkan oleh pemain-pemain Sime Darby. Malah hantaran-hantaran yang dibuat kelihatan seperti mencuba nasib dan bukannya sesuatu yang ditelah diasah sewaktu latihan.
Ketika perlawanan menuju ke titik penyudah semangat berlawan pasukan Terengganu sudah pun hilang dan ketika inilah Kandasamy berjaya mengambil peluang untuk mencari ruang dan hanya ketangkasan Sharbinee sahaja yang berjaya menidakkan penyerang tersebut dalam sekurang-kurangnya tiga situasi merbahaya.
Penderitaan pemain dan penyokong Terengganu akhirnya berakhir selepas hampir lima minit masa kecederaan dimainkan. Masing-masing tahu bahawa pasukan yang lebih layak telah mara ke perlawanan akhir.
...
|