1-forum

 1-photo

1-video 

1-facebook
Ganusoccer.Net - Laman Komuniti Bolasepak Terengganu
PIALA FA 2012: TERENGGANU GAGAL PERTAHANKAN KEJUARAAN PDF Print E-mail
Written by AR   
Wednesday, 02 May 2012 17:16

Para penyokong bolasepak Terengganu terpaksa menerima hakikat bahawa pasukan mereka musim ini hanyalah bayangan kepada pasukan yang menjuarai Piala FA musim lepas. Dengan keputusan 0-0 ketika menentang Sime Darby FC semalam satu bab yang memalukan telah ditulis dalam sejarah bolasepak Terengganu apabila akur dengan pasukan kelab tersebut dan melepaskan gelaran juara dalam pertandingan tersebut.

Kekalahan 2-1 di Kuala Terengganu dalam perlawanan pertama ternyata membawa kesan yang mendalam dan ternyata jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria bijak membuat percaturan untuk mengecewakan barisan pemain-pemain Terengganu yang diturunkan oleh Mohd Zan Mat Aris.

Ketiadaan Patrick Ronaldinho Wleh tidak sedikit pun menjejaskan Sime Darby yang tahu tekanan lebih tinggi di pihak lawan yang perlu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir. Dengan formasi 4-5-1 dengan hanya Yusof Zainal di bahagian serangan, pasukan tuan rumah kelihatan tenang untuk membiarkan Terengganu menguasai bola dan hanya melancarkan serangan balas pantas.

Barisan pemain Terengganu yang diturunkan sedar mereka perlu menjaringkan gol awal untuk meredakan tekanan dan walaupun mereka berjaya membuat beberapa gerakan yang menarik namun penyudahan yang kurang berkesan menggagalkan usaha mereka untuk membuat jaringan.

Penjaring terbanyak mereka, Francis Doe berjaya menggegar jaring pada minit ke 14 hasil dari satu sepakan sudut tetapi pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut disebabkan berlaku kesalahan sebelum itu. Selepas itu beberapa lagi peluang hadir tetapi Ashaari Shamsuddin dan Doe gagal membuat penyudahan yang boleh menghukum pasukan Sime Darby.

Ashaari kelihatan sudah penat, bukan dari segi fizikal tetapi mental apabila beberapa kali cubaan beliau untuk membuat larian yang selalunya berjaya membuka pertahanan pasukan lawan musim lepas, tetapi kali ini begitu mudah untuk dibaca dan dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan Sime Darby.

Beliau hampir juga memecah kebuntuan pada minit ke 38, tetapi seperti cubaan-cubaan lain yang dilakukan oleh pemain Terengganu, cubaan Ashaari kali ini hanya mampu menemui tiang gol dan melantun keluar. Pada minit ke 40 rembatan Ashaari gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Sime Darby, Redzuan Harun tetapi Doe gagal untuk menyambar bola yang termuntah itu.

Dari sepakan sudut tersebut bola terus tiba kepada Doe yang hanya perlu membuat tandukan lembut untuk menghalakan bola ke dalam gawang pasukan lawan tetapi dia memilih untuk membuat tandukan deras dan hasilnya bola tersebut melambung di atas palang gol. Ketika perlawanan separuh masa pertama menuju ke penghujungnya, sekali lagi peluang hadir di kaki Doe tetapi pemain tersebut hanya mampu melihat rembatannya tersasar dari gol Sime Darby.

Tiga minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula gerakan satu dua di antara Abdul Hadi Yahya dan Doe menyaksikan sekali lagi peluang hadir di kaki penyerang Liberia itu, namun sekali lagi beliau mengecewakan penyokong apabila rembatannya tersasar.

Ianya aksi terakhir Doe yang dikeluarkan oleh Mohd Zan dan digantikan oleh Ailim Fahmi. Ketika itu kebanyakan penyokong sudah dapat merasakan bahawa peluang mereka sudah semakin tertutup untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

Dengan Sime Darby menggantikan Yusof Zainal dengan penyerang berpengalaman, Razali Umar Kandasamy untuk mengetuai barisan serangan para penyokong pasukan Terengganu tahu gol pasukan mereka mungkin akan dibolosi sekiranya barisan pertahanan tidak berhati-hati.

Kehadiran Kandasamy terus memberi impak kepada serangan Sime Darby apabila larian beliau pada minit ke 54 membuka ruang untuk Leandro Teofilo membuat rembatan yang menewaskan Sharbinee Allawee tetapi para penyokong bernafas lega apabila cubaan tersebut hanya mengenai tiang.

Barisan tengah Terengganu jelas kebuntuan bagaimana untuk mencari ruang untuk membolehkan mereka menjaringkan gol. Ismail Faruqi cuba membuat larian-larian solo yang mudah dibaca dan dipatahkan oleh pemain-pemain Sime Darby. Malah hantaran-hantaran yang dibuat kelihatan seperti mencuba nasib dan bukannya sesuatu yang ditelah diasah sewaktu latihan.

Ketika perlawanan menuju ke titik penyudah semangat berlawan pasukan Terengganu sudah pun hilang dan ketika inilah Kandasamy berjaya mengambil peluang untuk mencari ruang dan hanya ketangkasan Sharbinee sahaja yang berjaya menidakkan penyerang tersebut dalam sekurang-kurangnya tiga situasi merbahaya.

Penderitaan pemain dan penyokong Terengganu akhirnya berakhir selepas hampir lima minit masa kecederaan dimainkan. Masing-masing tahu bahawa pasukan yang lebih layak telah mara ke perlawanan akhir.

 

...

 

 
AMBIL IKTIBAR PENGORBANAN DITUNTUT PDF Print E-mail
Written by Sukri Rahman   
Tuesday, 01 May 2012 17:16

AMBIL IKTIBAR, PENGORBANAN DITUNTUT, RAPATKAN SAF
Oleh Shukri Rahman


1hb Mei setiap tahun pekerja seantero dunia merayakan Hari Pekerja. Pada tanggal yang sama tahun ini bola Terengganu ada satu misi teramat besar – untuk menang sekurang2 dua gol ke atas Sime Darby bagi mempastikan tidak tercicir slot ke Final Piala FA 2012, sekaligus menghidupkan peluang bagi mempertahankan kejuaraan.

Justeru meskipun ditakdirkan berjuang pada Hari rehat, kali ini pengorbanan ikhlas dan bermakna sekali lagi ditagih – pihak pengurusan, jurulatih, pemain, penyokong dan peminat, pihak berkuasa, seluruh rakyat Terengganu Darul Iman, walau di mana anda berada – semua sekali, sebagaimana seruan YAB Dato’ Seri Ahmad said, semoleknya bersatu hati merapatkan saf atas semangat 1 Terengganu. Kerana apa? Bukankah kita sama-sama tidak rela melihat Piala FA terlepas kepada pasukan lain kali ini.

Jika diimbas kembali, suasana hingar-bingar di luar Stadium Darul Makmur tahun lepas umpama pesta keramaian setelah Terengganu berupaya membuat satu dramatic comeback  meskipun pada mulanya ketinggalan 0-2 di saingan separuh akhir itu. Hatta di Final sekalipun sekali lagi Terengganu membuat comeback bagi melayakkan diri bergelar Juara. Begitu sukar liku-liku yang ditempuh, namun dengan semangat dan keazaman yang membara segalanya tiada yang mustahil.

Apakah kini setelah bergelar Juara bertahan, walau apa pun alasannya, akan dibiarkan pudar begitu saja semangat pendekar itu? Tahun lalu ramai di kalangan kita yang kepingin melihat kelibat Terengganu melawan T-Team di Final Piala Malaysia. Namun malangnya ia tidak menjadi kenyataan dan Terengganu tewas kepada NS setelah mendahului lawan. Tahun ini ada yang berkira-kira nok tengok Terengganu lwn T-Team jugok di Final Piala FA. Sekali lagi ia tinggal sekadar angan-angan apabila T-Team tewas di suku akhir walaupun bermain di tempat sendiri setelah seri di tempat lawan.
Cuma tinggal Terengganu calon selaku Juara bertahan yang berjaya melangkah ke separuh akhir. Tapi misi buat Terengganu menjadi agak mencabar setelah pemain gantian Sime Darby menewaskan kapten dan penjaga gol kita dalam masa kecederaan tatkala kebanyakan pemain-pemain pertahanan meninggalkan posisi.

Persoalannya mustahilkah misi suci ini? Segalanya bergantung kepada diri sendiri. Jika kita sanggup biarkan ia menjadi mustahil, maka mustahillah jadinya. Tetapi jika seluruh Terengganu bersatu hati dan masing-masing memainkan peranan dengan ikhlas dan penuh semangat waja, seperti yang berlaku tahun lalu, InshaAllah tiada yang mustahil di sisi Allah SWT, Tuhan yang mentakdirkan dan bukan Dia yang ditakdirkan. Malam sebelum ini Terengganu menang besor ke atas lawan dari Vietnam dalam saingan pertama di malam hari di SSINS. Ia satu petanda bahawa masih ada lagi kekuatan dalam pasukan Terengganu. Namun usahlah terlalu mendabik dada atau terkhayal dgn keputusan itu kerana jelas masih ada kelemahan-kelemahan yang dapat dilihat meskipun dalam kemenangan besar. Sepatutnya kita boleh menang dengan jaringan yg lebih besor. Gol kedua lawan pula tak sepatutnya masuk kerana masa itu kita dah pakai lima pertahanan yang hebat-hebat.

Apapun, sudah pasti Terengganu selayaknya boleh mengambil tonik, semangat dan ruh baru sebagai bekal ke Selayang dengan kejayaan ke pusingan kedua saingan AFC itu. Selebihnya bersedialah dengan secukupnya – dari segi rehat, fizikal, mental, disiplin permainan, kekuatan rohani, strategi dan tektik, baiki segera kelemahan-kelemahan yang masih ketara  – bagi menggalas misi besar di sana nanti. Jangan lagi buat kesilapan mudoh atau persia-siakan sebarang peluang. Apa saja boleh berlaku. Mungkin tamboh masa, mungkin jugok penalti. Fokuskan kpd pencapaian misi ini dalam ibu segala perhitungan kelak.


Inilah peluang terakhir Terengganu. Justeru, turunkanlah pemain-pemain yang betul-betul bersedia dari semua segi sahaja – yang sanggup berkorban bak pendekar berani yang tiada tandingan - cerdik berfikir dan bijok lagi pantas bertindok. Kalau nak terus jadi juara, bertindoklah laksana sang Juara walau apapun situasi. Letoklah marwoh serta harga diri dan pasukan di tempat sewajarnya. Bersiapsiagalah dari sekarang.


Sime Darby mungkin megah sebagai giantkiller. Namun jika kena cara amokan 1 Terengganu kelak, InshaAllah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya bahang tanoh jugok. Sama-samalah kita doakan semoga misi bola Terengganu di Selayang selamat dan berjaya.

 
PIALA FA 2012: PENYU DIKEJUTKAN DI LAMAN SENDIRI PDF Print E-mail
Written by AR   
Sunday, 22 April 2012 08:42

Cita-cita Terengganu untuk mempertahankan gelaran juara Piala FA tercalar sedikit apabila mereka dikejutkan oleh pasukan Liga Premier, Sime Darby FC dalam pertemuan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Dua gol menerusi serangan balas pantas yang terhasil akibat kesilapan barisan pemain Terengganu sendiri memberi laluan yang agak selesa kepada pasukan bimbingan Ismail Zakaria untuk menghadapi pertemuan kedua pada 1 Mei nanti di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

DSC_2995

Penyerang Terengganu, Francis Doe yang menghadiahkan gol pertama Sime Darby apabila membuat hantaran liar yang disambar oleh Patrick Ronaldinho Wleh, berjaya sedikit-sebanyak menebus kesilapannya dengan membuat jaringan buat Sang Penyu.

Namun apa yang amat meresahkan para penyokong Terengganu ialah kegagalan barisan pemain mereka untuk mempamerkan permainan yang kemas dan konsisten. Tiada lagi corak permainan pantas yang menjadi sajian musim lepas, malah kebanyakan gerakan yang dilakukan mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan lawan.

Sime Darby bertandang dengan suatu pelan bertindak iaitu corak bertahan dan cuba melakukan serangan balas yang pantas ke atas kubu Sang Penyu. Mereka berjaya melakukannya beberapa kali di separuh masa pertama namun berjaya dikekang oleh Sharbinee Allawee dan rakan-rakan sepasukannya.

Namun kesilapan Doe membuat hantaran liar pada minit ke 53 dihukum sepenuhnya oleh rakan senegaranya, Wleh yang membuat larian sebelum menewaskan Sharbinee sebelum menolak bola ke gawang yang terbuka. Jaringan tersebut membuatkan lebih kurang sebelas ribu orang penyokong Terengganu tergamam buat beberapa ketika.

Tetapi semangat juang yang ada dalam diri para pemain Terengganu menyaksikan mereka mula meningkatkan rentak permainan dan selepas beberapa kali mencuba untuk mencari ruang di barisan pertahanan akhirnya mereka berjaya pada minit ke 66.

Larian Joseph Kalang Tie di sebelah kanan akhirnya membuka ruang untuk Doe membuat penyudahan yang kemas menjadikan kedudukan 1-1. Stadium Sultan Ismail bergemuruh dengan sorakan gembira para penyokong Sang Penyu. Anak-anak buah Mohamad Zan Mat Aris semakin bersemangat untuk memburu gol kemenangan.

Keadaan menjadi tegang seketika apabila permainan menghampiri dua puluh minit terakhir apabila taktik para pemain Sime Darby yang cuba melengah-lengahkan masa dengan 'kecederaan' yang tidak seberapa mencabar kesabaran pemain Terengganu.

Walaupun mereka terus mencuba, barisan serangan Terengganu gagal untuk menewaskan penjaga gol Sime Darby, Redzuan Harun sekali lagi malam tadi. Sebaliknya dalam satu serangan balas yang pantas menyaksikan pemain gantian Sime Darby, Syukor Saidin berjaya menewas Sharbinee selepas membuat larian solo, memberikan keselesaan kepada pasukannya untuk menghadapi perlawanan kedua nanti.

 

...