LIGA SUPER 2010 PDF Print E-mail
Written by AR   
Saturday, 30 January 2010 05:39

BANGKIT DAN TERUS BANGKIT

 

Pertemuan Liga Super Malaysia 2010 antara Terengganu dan Kuala Lumpur malam ini penting buat anak-anak buah Irfan Bakti untuk membuktikan mereka mampu untuk bangkit selepas kehilangan rekod tanpa kalah di tangan Negeri sembilan di Paroi pada hari Selasa lepas. Walaupun ianya seperti akan memberikan Si Penyu satu mata dari perlawanan tersebut namun gol sendiri oleh Joseph Kallang Tie dalam waktu kecederaan telah menghadiahkan kesemua mata taruhan kepada pasukan tuan rumah.

Kunjungan pasukan 'Ibukota' yang baru sahaja dinaikkan dari Liga Perdana pasti akan dilihat oleh kebanyakan penyokong Terengganu sebagai landasan untuk pasukan ini kembali bersaing dengan mencatatkan kemenangan ke atas pasukan pelawat. Namun begitu pasukan Kuala Lumpur yang dipimpin oleh bekas pemain pertahanan Malaysia, Razip Ismail tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun mereka kini berada di kedudukan pertengahan carta liga, Kuala Lumpur bukanlah sebuah pasukan yang mudah dijinakkan berdasarkan kepada rekod mereka yang hanya kalah sekali sahaja sebelum ini iaitu ketika menentang juara Liga Super musim lepas, Selangor. selebihnya Kuala telah berjaya mencatatkan keputusan seri dalam empat perlawanan lain serta satu kemenangan untuk mengumpulkan tujuh mata.

Terengganu pula sudah pasti menjadi pasukan pilihan untuk menang berdasarkan kedudukan mereka yang hanya empat mata di belakang pendahulu, Selangor yang kembali menjarakkan diri selepas kekalahan Si Penyu di Paroi. Barisan serangan pasukan tuan rumah yang telah menjaringkan tiga belas gol setakat ini diharapkan akan lebih cekap memanafaatkan peluang yang terhidang. Sementara itu ketua pasukan Marzuki Yusof yang telah beraksi sebagai tonggak utama barisan pertahanan akan mampu mengemudikan barisan pertahanan untuk mengekang serangan Kuala Lumpur.

Sebuah lagi pasukan dari negeri Darul Iman, T-Team berkunjung ke Alor Setar untuk bertemu dengan sebuah lagi pasukan dari utara semenanjung, Kedah di Stadium Darul Aman. Selepas mencatatkan kemenangan sulung mereka pada hari Selasa ketika menentang jiran Kedah iaitu pasukan Perlis, sudah pasti anak buah Che Ku Marzuki akan berusaha lebih keras untuk meneruskan momentum kemenangan untuk membolehkan mereka melakukan cabaran dalam kancah Liga Super ini.

Namun ianya bukanlah suatu tugas yang mudah kerana mereka akan turun menentang pasukan Kedah yang kini berada di tangga ke tiga liga di belakang Terengganu. Selepas permulaan yang bercampur-baur, sudah pasti pasukan tuan rumah ingin terus mencatatkan kemenangan selepas berjaya mengharungi tiga perlawanan sebelum ini tanpa kalah.

Kepada semua pemain pasukan dari Terengganu, kami mengucapkan selamat berjaya, KAMI TETAP BERSAMAMU.

 

...