| Kemuncak Perlawanan Akhir Piala Presiden 2009 |
|
|
|
| Written by MP |
| Wednesday, 19 August 2009 10:57 |
|
Sang Penyu Berazam Merangkul Kejuaraan Di Tempat Lawan
TARIKH : 19 OGOS 2009 ( RABU) MASA : 8.45 PM , STDM JCORP PASIR GUDANG JOHOR BHARU
Terengganu akan bertemu Johor FC malam ini di Stadium J-Corps, Pasir Gudang untuk merebut kejuaraan TM Piala Presiden yang diidam-idamkan oleh kedua-dua pasukan. Terengganu akan turun dengan semangat juang yang tinggi walaupun mengetahui lawan beraksi di kubu keramat di mana mereka mempunyai rekod cemerlang sepanjang liga ini berlangsung. Kali terakhir Terengganu menjulang piala ini ialah pada tahun 2006 apabila mereka berjaya membenam pasukan MPPJ dengan jaringan 2-0. Abdul Manaf Mamat menjadi wira pasukan apabila menjaringkan kedua-dua gol tersebut dan seterusnya dinobatkan pemain terbaik perlawanan. Tahun lalu Selangor unggul menjuarai piala ini manakala pada tahun 2003 menjadi milik Kedah. Pulau Pinang membawa piala tersebut pulang dalam tahun 2004 sementara jiran mereka, Singa Utara memenanginya dalam tahun 2007. Johor FC pernah memasuki final sebelum ini ini tetapi gagal memenangi kejuaraan. Kelebihan beraksi di tempat sendiri pastinya akan digunakan sebaik-baiknya. Berdasarkan pertemuan musim ini Johor FC pasti dianggap sebagai pasukan pilihan kerana mereka telah berjaya memenangi dua perlawanan tersebut dengan jaringan 3-0. Mengikut Penolong Pengurus pasukan Terengganu , Haji Abdullah Salleh, tanggungjawab untuk memimpin pasukan Terengganu dalam perlawanan ini disandarkan kepada Mohd Syazlan Alias yang banyak memainkan peranan dalam mengatur serangan kearah kubu lawan. Syazlan yang tidak begitu cergas ketika bertemu Kuala Lumpur tempohari kini telah disahkan sihat walafiat dan bersedia memikul tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Jurulatih pasukan, En.Shafei Pak Penolong Jurulatih iaitu En.Zakaria telah menyusun taktikal dan perancangan yang lebih baik kerana tidak mahu keputusan yang sama di stadium ini akan berulang lagi malam ini. Menyedari kekuatan lawan , sudah pasti mereka akan membuat persediaan secukupnya dalam usaha untuk memerangkap lawan. Harapan semua rakyat Terengganu perancangan ini berjalan dengan sempurna dan pemain dapat mengikut arahan dengan baik. Dua buah bas telah disediakan oleh PBSNT untuk membawa penyokong dari Terengganu untuk memberi sokongan moral kepada pemain dan diharap dengan kehadiran mereka akan meningkatkan semangat juang pasukan Penyu. Selamat Berjuang kepada semua pemain, semoga mampu melakukan kejutan dan seterusnya menjulang piala presiden 2009. KAMI TETAP BERSAMAMU!
... |



