T-Team Mulakan Persiapan Musim 2009 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 08 January 2009 02:44
T-Team 4 Terengganu Piala Emas Raja-Raja 0

Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah

Persiapan pra-musim bermula buat T-Team di Kuala Terengganu apabila mereka menentang skuad Terengganu yang akan bermain dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja tahun ini. Inilah peluang pertama buat peminat-peminat bolasepak Terengganu untuk melihat kelibat beberapa pemain Terengganu yang merantau beraksi semula untuk salah satu pasukan negeri pantai timur itu.

Antara pemain yang berada di dalam kesebelasan T-Team yang bermula semalam ialah Rosdi Talib dan Subri Sulong. Sementara itu pemain tengah Norhisham juga memulakan permainan tersebut yang berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat pasukan T-Team.

Pemain-pemain lain yang turut beraksi untuk sebahagian perlawanan itu ialah Norfazly Alias dan Mohamad Haris Safwan. Penyerang Hairuddin Omar yang baru sahaja pulang dari bertugas dengan pasukan kebangsaan di Kejohanan Pestabola Merdeka turut berada di tepi padang bersama dengan Mohamad Syamsuri Mustafa memberi sokongan kepada rakan-rakan sepasukan mereka.

Sebagaimana biasa, keputusan tidak penting dalam perlawanan pra-musim seperti ini. Sebaliknya ianya memberi peluang kepada para pemain untuk menemui semula sentuhan mereka serta meningkatkan tahap kecergasan dalam menyediakan diri untuk menghadapi musim baru Liga Malaysia.

Buat skuad Piala Emas Raja-Raja Terengganu pula mungkin mutu persembahan dan persefahaman antara mereka perlu dipertingkatkan untuk membuat impak dalam perlawanan peringkat kumpulan Zon Timur yang akan diadakkan di Kota Bahru nanti.