Piala Malaysia '09 PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Tuesday, 29 September 2009 11:30

 

TERENGGANU vs JOHOR

Kuala Terengganu, 29 Sep - Tiada keputusan lain selain daripada tiga mata penuh yang ditagih oleh para peminat Terengganu apabila pasukan kesayangan mereka bakal turun ke gelanggang sendiri malam ini bertemu Johor di dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan bagi saingan Piala Malaysia musim 2009.


Ketiadaan pemain regular, Md Hariri Md Safii yang mengalami kecederaan hamstring ketika perlawanan menentang Sarawak tempohari dan juga kehilangan Md Saufi Hamid yang digantung perlawanan, sedikit sebanyak memaksa jurulatih berpengalaman daripada Australia itu merombak strategi baru bagi memastikan Johor pulang hampa. Keyakinan Ken Worden walaupun perlu mengisi kekosongan di tapak pertahanan kiri tersebut adalah berasa jika dilihat pada senarai pemain Terengganu. Md Shahrul Hezrain ataupun Ahmad Shahril Zakaria sudah pasti lebih daripada mampu untuk menyumbang sesuatu buat pasukan.

Ketajaman pemain import tempatan, Khairul Izwan Khalid ketika perlawanan menentang Sarawak sudah pasti mengundang kelegaan buat para peminat setelah membuktikan betapa kini Terengganu mempunyai banyak pemain di barisan hadapan yang mampu menghadiahkan jaringan-jaringan penting, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Azlan Ismail yang sedang menjalani penggantungan akibat dari insiden di Paroi ketika saingan Liga Super.

Apapun, skuad Terengganu seharusnya tidak memandang rendah akan keupayaan pasukan Johor walaupun mereka tewas pada perlawanan pembukaan menentang Negeri Sembilan kerana sejarah telah membuktikan bahawa bola itu bulat dan apa-apa boleh terjadi.

Buat para peminat bolasepak Terengganu di luar sana, ayuh beramai-ramai memenuhkan segenap inci stadium bagi melontar sokongan tidak berbelah bagi buat pasukan kesayangan kita. Tiket-tiket berharga RM10 untuk tempat duduk terbuka dan RM20 untuk tempat duduk berbumbung.