| Prebiu - Liga Super 2010 KL PLUS vs T-Team |
|
|
|
| Written by AR |
| Monday, 17 May 2010 16:31 |
|
Malam esok pasukan T-Team akan turun menentang pasukan KL PLUS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dalam usaha untuk melakukan seuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini di dalam Liga Super Malaysia iaitu mencatatkan kemenangan ke empat berturut-turut. Pada hari Sabtu anak buah Che Ku Marzuki berjaya mengalahkan Kuala Lumpur hasil jaringan tinggal Shahrul Ezrain untuk memberikan kemenangan ketiga berturut-turut pasukannya, yang juga suatu rekod baru. Namun rekod kemenangan pasukan T-Team ialah sembilan kemenangan berturut-turut di dalam saingan Liga Perdana musim lepas dalam perjalanan mereka mencapai tempat di dalam Liga Super Malaysia musim ini. Sesuatu yang mungkin membantu T-Team ialah mereka berjaya mencapai kemenangan-kemenangan ini tanpa mempersembahkan permainan yang meyakinkan kecuali ketika bertemu dengan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu pada awal bulan ini. Dalam perlawanan menentang pasukan yang sama di Paroi, T-Team dipaksa bertahan hampir sepanjang perlawanan dan jentera serangan tuan rumah yang tumpul banyak membantu mereka mengikat kedudukan pada 0-0 sehinggalah Abdul Hadi Yahaya menemui sentuhan penyudah dalam waktu kecederaan. Perlawanan menentang Kuala Lumpur baru-baru ini juga menyaksikan kegagalan barisan serangan untuk membuat asakan-asakan bermakna untuk menjaringkan lebih banyak gol untuk memberikan nilai positif kepada perbezaan jaringan gol mereka. Hantaran-hantaran yang tidak tepat serta kehilangan bola oleh pemain-pemain T-Team juga sering menjadi kekecewaan penonton yang hadir ke stadium. Namun begitu keupayaan mencatat kemenangan tanpa memberi persembahan terbaik juga suatu tanda ketahanan mental para pemain T-Team. Kedudukan mereka yang kini di tangga ke lima carta Liga Super Malaysia pasti menjadi sumber kebanggaan dan sudah pasti para pemain akan turun ke padang menentang KL PLUS nanti dengan semangat juang yang tinggi dan keinginan untuk melakukan yang terbaik. Kedudukan KL PLUS di tangga ke 12 carta Liga Super Malaysia tidak boleh di pandang sebagai pengukur keupayaan sebenar mereka. Sudah pasti Ketua Jurulatihnya Mat Zan Mat Aris akan mengatur suatu strategi bersama dengan penolongnya, Jonas Krecka yang dibawa masuk oleh pengurusan 'The Highwaymen' awal bulan ini untuk membawa mereka keluar dari kancah penyingkiran ke Liga Perdana Malaysia. Kepada para pemain T-Team, teruskan berjuang dengan penuh kesungguhan, kami di GSN akan bersamamu!
... |


