Prebiu - Liga Super 2010 Terengganu vs Perak PDF Print E-mail
Written by AR   
Monday, 17 May 2010 14:35

Kekalahan 3-0 di Kota Bahru kepada Kelantan pada hari Sabtu yang lalu menyaksikan Terengganu turun ke tangga ke empat dalam carta Liga Super Malaysia 2010. Ianya juga perlawanan ke tiga Terengganu tanpa sebarang kemenangan. Ramai yang mula mempersoalkan sama ada anak buah Irfan Bakti mampu untuk terus bersaing dan mengejar semula pasukan-pasukan yang berada di atas mereka selepas ini.

Lantas perlawanan menentang Perak ini menjadi amat penting untuk pemain-pemain Terengganu mengembalikan keyakinan para penyokong dan peminat pasukan Terengganu yang memang ingin melihat Sang Penyu mengecapi kejayaan yang berterusan.

Di atas kertas mungkin Perak berada di kelompok bawah carta Liga Super Malaysia, tetapi di dalam bolasepak tiada istilah perlawanan mudah. Perak yang kini menghuni posisi ke 11 baru sahaja mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan apabila menundukkan jiran selatan Terengganu, Pahang 2-0 dalam perlawanan yang di adakan di Stadium Ipoh, Jumaat lalu.

Sudah pasti mereka ingin mengekalkan momentum kemenangan itu untuk memulakan pendakian semula ke kelompok atas carta Liga Super Malaysia. Harus dilihat juga rekod pasukan Sang Seladang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah juga agak baik apabila mereka berjaya mengikat Terengganu kepada keputusan 1-1 dalam musim 2008 dan 2009.

Apa yang pasti ialah Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti sudah pasti akan mengatur strategi yang sesuai dengan pemain-pemain yang ada untuk mempastikan tiga mata berharga akan diraih malam esok. Kegagalan mengutip mata penuh pasti akan menghakis keyakinan para pemain untuk perlawanan-perlawanan seterusnya dan juga menyaksikan sokongan bertambah pudar di kalangan penyokong pasukan Terengganu.

Namun buat pemain-pemain Terengganu, TERUSKAN BERJUANG, kami di GSN akan tetap bersamamu!

 

...