Prebiu - Liga Super 2010 T-Team vs Kuala Lumpur PDF Print E-mail
Written by AR   
Friday, 14 May 2010 02:20

PELUANG TERBUKA

 

Kunjungan pasukan Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini menghidangkan peluang yang baik buat pasukan T-Team untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di bahagian atas TM Liga Super Malaysia 2010. Selepas mencatatkan empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka, termasuk kemenangan 'berganda' ke atas pemenang Piala FA 2010 Negeri Sembilan baru-baru ini, anak buah Che Ku Marzuki kini berjaya menempatkan diri mereka di kelompok lima teratas dalam Liga Super.

Mungkin di awal musim pasukan T-Team kelihatan baru cuba untuk bertatih di liga utama negara ini, namun selepas mengharungi 14 perlawanan mereka kelihatan sudah menjumpai rentak yang membolehkan mereka mencabar pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman dari mereka di peringkat ini.

Tidak dinafikan bahawa sokongan peminat bolasepak Terengganu masih lagi cenderung ke arah pasukan negeri namun tidak mustahil apabila lebih ramai peminat akan membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk menyokong pasukan T-Team sekiranya mereka mampu untuk memberikan persembahan yang bertenaga dan bersungguh-sungguh dan mencatatkan keputusan-keputusan yang boleh dibanggakan.

Dengan permulaan yang baik untuk pusingan kedua TM Liga Super 2010 apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Paroi minggu lepas, maka kunjungan pasukan Ibu-kota ini boleh diibaratkan sebagai ujian sama ada T-Team telah berjaya menemui rentak yang konsisten untuk mereka terus memberi cabaran yang berpanjangan untuk musim ini.

Gandingan serangan Haris Safwan dan Abdul Hadi Yahaya sudah menampakkan keserasian dengan bekas penyerang Kuala Lumpur itu berjaya menemui sentuhan gol dalam empat dari lima perlawanan terakhirnya. Kehadiran bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menerima reaksi yang bercampur di kalangan peminat bolasepak namun apa yang pasti ramai berharap agar pengalaman pemain berusia 33 tahun itu akan mampu untuk membantu T-Team dalam mencipta kejayaan seterusnya.

Sejak kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan hari pembukaan musim 2010 ini, Kuala Lumpur juga gagal mempamerkan persembahan yang konsisten namun pasukan yang dianggotai oleh ramai bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil ini akan memintas T-Team sekiranya mereka berjaya mengutip tiga mata di Kuala Terengganu Sabtu ini. Oleh itu para pemain pasukan tuan rumah hendaklah mengekalkan fokus mereka sehingga ke wisel penamat untuk mengelakkan nasib yang menimpa pasukan Sang Rusa minggu lepas terjadi kepada mereka pula.

Teruskan berjuang, kami tetap bersamamu!

 

...