Prebiu - Liga Super 2010 Kelantan vs Terengganu PDF Print E-mail
Written by AR   
Friday, 14 May 2010 01:17

PERTEMUAN BUKU DENGAN RUAS

 

Tidak dapat disangkalkan lagi perlawanan tumpuan pada hari Sabtu ini ialah pertemuan 'derby' apabila pasukan Terengganu berkunjung ke Stadium Sultan Mohamad IV untuk bertemu dengan Kelantan. Ianya lebih dihangatkan lagi dengan kedudukan kedua-dua buah pasukan yang menguasai tempat kedua dan ketiga di dalam TM Liga Super Malaysia ketika ini. Pertemuan pertama antara kedua-dua buah pasukan di hari pembukaan Liga Super musim ini di Kuala Terengganu menyaksikan mata dikongsi apabila kedua-dua penjaga gol berjaya menghalang pintu gol mereka dari dibolosi.

Kemenangan 4-1 Kelantan ketika bertandang ke Johor telah menjarakkan mata di antara pasukan Kijang dan pasukan Penyu kepada lima mata walaupun pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang itu bermain lebih satu perlawanan. Ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Selangor ianya amat penting untuk pasukan Terengganu untuk mencipta keajaiban dengan mengutip tiga mata di gelanggang yang hanya menyaksikan pasukan tuan rumah hanya tewas sekali sahaja sepanjang musim ini.

Penyokong tuan rumah sudah pasti akan memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka dan faktor pemain ke -12 sudah banyak kali membantu pasukan Kelantan memenangi perlawanan mereka. Namun sokongan ini kadang-kadang boleh menjadi faktor tekanan kepada pasukan Kijang sekiranya mereka gagal mempamerkan persembahan yang menyakinkan. Ianya sesuatu yang harus diekploitasikan oleh anak-anak buah Irfan Bakti yang dengan mengekang asakan-asakan yang dilakukan oleh pasukan di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan dan cuba menjaringkan gol melalui serangan balas yang pantas.

Namun kehadiran bekas penyerang Terengganu, Pahang dan T-Team serta pemenang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan musim lepas Hairudin Omar mungkin akan menjadi faktor penentu dalam perlawanan ini. Tidak dinafikan dia sentiasa bermotivasi tinggi ketika bertemu dengan pasukan Terengganu dan jaringan-jaringan yang dilakukan apabila bermain menentang pasukan lamanya itu menjadi bukti kepada hujah tersebut.

Di samping itu kehadiran seorang lagi bekas pemain Terengganu Nor Farhan juga boleh membantut keinginan pasukan Terengganu untuk membawa pulang tiga mata penuh pada hari Sabtu ini. Tidak cukup dengan itu barisan pertahanan Terengganu yang akan dipimpin oleh Marzuki Yusof juga terpaksa berdepan dengan ancaman Indera Putra Mahyudin serta S Canturu.

Namun dengan kehadiran penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee di pintu gol Terengganu diharapkan pasukan pelawat akan mampu untuk membuat 'clean sheet' dan cuba menggunakan sepenuh peluang yang hadir untuk menjaringkan gol. Gandingan Abdul Manaf Mamat bersama rakan-rakan sepasukan yang lain, Ashaari Shamsuddin, Firdaus Faudzi, Joseph Kalang dan Wan Alif menjadi harapan para penyokong Terengganu untuk mencipta kemenangan dan seterusnya merapatkan jurang mata di antara pasukan mereka dengan Kelantan dan Selangor.

Teruskan berjuang, kami tetap bersamamu!

 

...