Siapa Menang???? PDF Print E-mail
Written by gsn press   
Tuesday, 04 May 2010 08:35
Persaingan Liga Super memasuki perlawanan terakhir pusingan pertama yang menyaksikan Terengganu bakal turun ke gelanggang lawan, di Stadium Darul Aman bagi membuat perhitungan dengan Kedah.Manakala satu lagi pasukan kelab dari Terengganu, TTeam akan menanti kunjungan Sang Rusa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Terengganu pastinya turun berbekalkan semangat membara untuk membalas dendam atas kekalahan di tangan Kedah dalam saingan Piala FA Mac lepas.Manakala TTeam pula turun dengan semangat baru setelah berjaya mengikat pemain berpengalaman Khalid Jamlus.Namun masih menjadi teka-teka, adakah Khalid akan diturunkan atau sekadar menjadi penonton malam ini.

Episod duka dan luka yang menimpa Terengganu ketika kunjungan lalu pastinya ingin dihapuskan oleh pemain-pemain Terengganu.Mereka sudah pasti mengingati episod itu, dan semestinya azam serta tekad tersemat didada mereka, Kedah mesti ditundukkan.Jika dulu, tempat ke final Piala FA menjadi buruan tetapi misi malam ini cukup berbeza.Persada liga ingin ditakluki.

Abdul Manaf Mamat kembali ke Stadium Darul Aman malam ini,bukan ulangan episod lalu tetapi lembaran baru ingin disingkapkan, gawang Helmi Eliza ingin dibocori.Firdaus Fauzi juga kembali dengan tekad dan niat yang sama.Stadium Darul Aman ingin ditakluki.Jika separuh akhir Piala FA dulu Terengganu turun tanpa Zairo Anuar, tetapi misi kali ini, Zairo Anuar akan menjadi tonggak kebangkitan Terengganu.Jika dulu masalah kecederaan menghantui pasukan namun kali ini, skuad bebas kecederaan bakal dipertaruhkan oleh Hj Irfan Bakti untuk bersemuka dengan anak muda barisan Hj Ahmad Yusuf.

Harus diingat,Kedah bukanlah pasukan belasahan.Rekod membuktikan Terengganu seakan-akan sukar untuk memenangi pertemuan dengan Kedah.Apatah lagi Azlan Ismail diberitakan akan diserahkan tugas selaku watak pemusnah manakala Badrul Bakhtiar akan sedaya mungkin menjana gerakan tengah mereka.Mampukah anak muda ini berhadapan dengan barisan kental milik Hj Irfan Bakti ataupun mampukah kekentalan benteng Marzuki Yusuf dan rakan-rakan bertahan semampu mungkin? Adakah mampu gelora Stadium Darul Aman akan diatasi barisan Sang Penyu ataupun gelora itu terus menekan barisan dari Pantai Timur itu.

Kehebatan Sang Kenari terbang tinggi tidak boleh disangkal lagi.Terbang meninggalkan Sang Penyu ketika saingan lalu.Namun Sang Penyu telah pun bersedia malam ini.Bersedia untuk mematahkan sayap Sang Kenari.Persaingan dan pertembungan malam ini sudah pasti menarik.Sang Penyu menyentap ego Singa Selatan dan Singa Utara dengan kemenangan besar 6-3 dan 4-0 dalam dua perlawanan terakhir mereka manakala Sang Kenari tidak mampu terbang tinggi setelah tunduk dalam dua perlawanan lalu.Kedah pastinya ingin bangkit manakala Terengganu pastinya ingin meneruskan kesinambungan kemenangan.

Badrol Bakhtiar, pemain yang seharusnya menjadi perhatian anak-anak buah Hj Irfan Bakti malam ini.Menyekat kemaraan Badrol pastinya akan melumpuhkan gerakan Kedah.Namun, perlu diingat juga, bukan hanya Badrol perlu disekat bahkan semua pemain Kedah perlu diberi perhatian andainya ingin pulang dengan 3 mata berharga.

TTeam yang baru sahaja mendapatkan tandatangan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus minggu lalu, akan turun menentang juara Piala FA, Negeri Sembilan.Berbekalkan semangat ingin memungut 3 mata berharga setelah tumbang di Shah Alam dalam perlawanan terakhir mereka akhir April lalu.Manakala Negeri Sembilan sudah pasti inginkan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.

Khalid Jamlus, pemain yang terkenal dengan ketajaman penyudahnya diberitakan tidak dapat diturunkan lagi malam ini.Gandingan 2H sekali lagi ditagih oleh Cheku Marzuki untuk meranapkan impian Sang Rusa untuk membawa pulang 3 mata dari Kuala Terengganu.Kekentalan benteng serta ketangkasan Syamsuri Mustaffa ditagih bagi memberikan keceriaan di kem TTeam malam ini.Apa yang pasti, kemenangan harus dicari untuk terus memanjat anak tangga liga.

Pertembungan dan perhitungan Kedah-Terengganu dan TTeam-N.Sembilan akan menjanjikan sesuatu yang menarik.Para penyokong disandarkan harapan untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada dua pasukan kesayangan kita untuk bersama-sama meraikan kejayaan malam ini.

Kepada Terengganu dan TTeam, semoga kemenangan menjadi milik kita malam ini.