Sama kuat, sama hebat PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Wednesday, 20 January 2010 12:15
tteamterres
Kuala Terengganu, 19 Januari - Sama kuat, sama hebat. Itulah yang dapat diperkatakan tentang pertembungan adik-beradik antara pasukan T-Team dan Terengganu bagi saingan Liga Super musim 2010 malam tadi. Dengan menurunkan formasi yang agak sama, kedua-dua pasukan dilihat seperti menafikan kelebihan masing-masing dan keputusan perkongsian satu mata dilihat adalah adil.

Separuh masa pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan T-Team dilihat lebih menonjolkan keinginan untuk memburu kemenangan jika dibandingkan dengan pasukan Terengganu yang dilihat lebih berhati-hati. Kecederaan yang dialami oleh Joseph Kallang Tie juga merencatkan lagi tempo permainan Terengganu apabila K.Rajan yang dimasukkan untuk menggantikan bekas kapten Sarawak itu seakan-akan tidak dapat menyaingi pemain-pemain T-Team. Che Ku Marzuki Che Ku Mohamad Nor selaku pengendali T-Team menurunkan formasi 4-5-1 dengan Haris Safwan Kamal bertindak selaku penyerang tunggal untuk memastikan penguasaan di bahagian tengah. Walaupun diasak bertubi-tubi oleh barisan hadapan T-Team, kubu Terengganu tetap kebal bertahan. Akhir separuh masa pertama, kedudukan masih terikat 0 - 0.

Di separuh masa kedua pula, Terengganu pula mengambil alih penguasaan dengan lebih kerap melakukan asakan-asakan ke gawang Shahril Sa'ari yang diberi peluang turun dalam kesebelasan utama setelah penjaga gol utama T-Team, Syamsuri Mustafa diberitakan tidak sihat. Benteng T-Team yang diketuai Norfazly Alias yang bergandingan dengan Md Nuraliff Zainal kental menangani setiap asakan dari pemain Terengganu dan Shahril Sa'ari yang kurang diuji ketika separuh masa pertama, dipaksa bekerja lebih keras pada separuh masa kedua. Asakan-asakan Terengganu akhirnya berhasil apabila pada minit ke 72, Md Ashaari Shamsuddin berjaya melepaskan diri daripada kawalan Nuraliff Zainal sebelum melorongkan bola kepada Abdul Manaf Mamat yang tidak dikawal. Pemain kebangsaan kemudiannya melepaskan rembatan leret menewaskan Shahril Sa'ari untuk gol yang pertama.

Gol tersebut ternyata membangkitkan semangat kedua-dua pasukan untuk menggandakan usaha memburu gol seterusnya. T-Team yang ternyata tidak patah semangat dengan gol pembukaan Abdul Manaf Mamat tadi terus melancarkan asakan-asakan yang lebih bertenaga dan enam minit kemudian, usaha mereka terbalas apabila penyerang sensasi, Haris Safwan Kamal yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan leret menewaskan Sarbinee Allawee Ramli untuk gol penyamaan T-Team.

Akhir perlawanan, satu mata dikongsi bersama-sama oleh kedua-dua pasukan yang dilihat satu keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan. Selepas ini, T-Team akan bertandang ke Johor manakala Terengganu akan menantikan kunjungan Selangor untuk meneruskan saingan Liga Super. Diharapkan, kedua-dua pasukan dapat mempersembahkan permainan yang menarik dan berjaya mengangkat nama Terengganu ke persada bolasepak tanahair.

Kepada semua peminat bolasepak Terengganu di Terengganu dan di Johor, ayuh turun ke stadium untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan wakil negeri kita.

Teruskan berjuang, kami bersamamu.