| Amukan Sang Penyu |
|
|
|
| Written by Eezmo |
| Sunday, 17 January 2010 15:08 |
![]() Kuala Terengganu, 16 Januari - Sang Penyu memerlukan sentuhan magis Haji Irfan Bakti ketika perlawanan berhenti rehat sebelum mampu untuk merobohkan keutuhan benteng Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam dengan keputusan penuh, Terengganu meraih tiga mata penuh setelah menewaskan Pulau Pinang empat gol tanpa balas. Gol-gol daripada Md Firdaus Faudzi, Md Ashaari Shamsuddin, Joseph Kallang Tie dan Abdul Manaf Mamat menceriakan kira-kira lebih seribu penyokong Terengganu yang terus setia bersama pasukan walaupun Terengganu memulakan perlawanan dengan kurang meyakinkan ketika separuh masa pertama.
Haji Irfan Bakti menurunkan kesebelasan utama sama seperti perlawanan menentang Perak tempohari dengan penyerang muda, Md Firdaus Faudzi mendapat kepercayaan untuk bergandingan dengan penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat untuk merobek barisan serba baru skuad Harimau Kumbang. Corak bertahan yang diserapkan oleh Mohamad Bakar berjaya menyerap segala asakan dan tekanan. Asakan Terengganu yang digerakkan oleh jeneral tengah, Zairo Anuar Zalani dan Tengku Hasbullah Raja Hassan dilihat kurang berkesan setelah pemain-pemain pertahanan Pulau Pinang cukup berdisplin memintas semua hantaran-hantaran mencari Firdaus Faudzi dan Abdul Manaf Mamat. Gaya hantaran-hantaran pendek sepertimana yang diarahkan oleh Haji Irfan Bakti mudah dipatahkan memaksa Terengganu membuat pertukaran awal mengeluarkan pemain sayap, K.Rajan dan memasukkan Joseph Kallang Tie bagi menambah sengat. Kemasukan bekas kapten Sarawak itu ternyata merubah corak dan tempo permainan Terengganu apabila lebih banyak percubaan-percubaan dilakukan. Namun, kegopohan penyerang Terengganu dan kekentalan pertahanan Pulau Pinang yang diperkuatkan oleh bekas pemain Perak, Chun Ken Hong memaksa separuh masa pertama tamat dengan tiada sebarang gol dihasilkan. Pengendali Terengganu, Haji Irfan Bakti memanfaatkan sepenuhnya masa rehat tersebut untuk merombak strategi baru bagi memecah keutuhan anak-anak buah Mohamed Bakar dan hasilnya jelas kelihatan dari minit pertama separuh masa kedua dimulakan. Para pemain Terengganu jelas lebih bertenaga dan bersemangat untuk memburu gol sulung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah musim ini dan hasilnya, pada minit ke 57, Zairo Anuar Zalani berjaya mengatur gerak melorongkan bola kepada Joseph Kallang Tie yang diterpa oleh penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata. Bola jatuh ke kaki Firdaus Faudzi hasil pertembungan antara Joseph Kallang Tie dan Amir Omar Khata dan penyerang muda tersebut tenang menyepak masuk ke pintu gol yang sudah ternganga luas. Gol pertama Terengganu tersebut ternyata membakar semangat pemain Terengganu manakala gaya permainan hantaran jauh Terengganu di separuh masa kedua banyak memerangkap barisan pertahanan Pulau Pinang. Hasilnya, sekali lagi menerusi hantaran jauh Zairo Anuar Zalani, disambut cantik oleh Ashaari Shamsuddin yang sebelum melepaskan rembatan separuh volley untuk menewaskan penjaga gol Pulau Pinang buat kali kedua. Belum cukup dengan dua gol, Sang Penyu terus menggandakan usaha dan usaha mereka terbalas apabila Joseph Kallang Tie dan Abdul Manaf Mamat berjaya menjaringkan masing-masing satu gol pada minit ke 81 dan 92. Dengan 3 mata penuh yang diraih ini, Terengganu melonjak ke tangga kedua di belakang pendahulu, Selangor yang turut mencatatkan kemenangan ke atas KL Plus. Pada perlawanan berikutnya, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bakal menjadi medan pertembungan antara abang dan adik, T-Team selaku tuan rumah akan bertemu Terengganu. Ayuh para peminat Terengganu ke stadium untuk memberi sokongan. Teruskan berjuang, kami bersamamu. |
Perlawanan Berikut
Carta MSL 2010
| № | Team | Played | Points |
|---|---|---|---|
| 1 | Selangor | 25 | 63 |
| 2 | Kelantan | 25 | 58 |
| 3 | Terengganu | 25 | 47 |
| 4 | Johor FC | 25 | 43 |
| 5 | N. Sembilan | 25 | 38 |
| 6 | T-Team | 25 | 37 |
| 7 | Kedah | 25 | 35 |
| 8 | PLUS FC KL | 25 | 30 |
| 9 | Pahang | 25 | 30 |
| 10 | Kuala Lumpur | 25 | 29 |
| 11 | Perak | 25 | 27 |
| 12 | Perlis | 25 | 26 |
| 13 | Johor | 25 | 16 |
| 14 | Pulau Pinang | 25 | 10 |
Terengganu FM
Siapa di Talian?
We have 60 guests online




