Liga Super 2009 : Pahang lwn Terengganu PDF Print E-mail
Written by terraadvertising   
Wednesday, 08 July 2009 11:20

result_ter_pah

SI PENYU SENTAP TOK GAJAH

msl2009ganupahang-1

Terengganu memungut tiga mata berharga apabila menjinakkan Tok Gajah di Stadium Darul Makmur malam tadi. Dua gol jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin meranapkan impian tuan rumah untuk mencari 3 mata penting setelah berada di tangga kedua terbawah. Tuan rumah dilihat bermain sebaik mungkin di separuh masa pertama akhirnya layu setelah sepakan sudut Ismail Faruqi yang baru masuk kira-kira seminit menggantikan Ahmad Shahril Zakaria singgah tepat dikepala Ashaari untuk Ashaari menanduk kebelakang sekaligus menerjah jaring untuk gol pertama Terengganu.

Gol tersebut menyemarakkan semangat anak-anak buah Ken Worden untuk menambah jaringan. Serangan bertali arus dilancarkan oleh para pemain Terengganu untuk menambah jaringan.Wan Aliff dan Abdul Manaf Mamat dua penyerang muda Terengganu silih berganti membuat percubaan namun cubaan-cubaan tersebut serong atau terus ke dakapan penjaga gol Pahang. Manakala Pahang juga membuat serangan balas namun seringkali dipatahkan oleh barisan pertahanan Terengganu yang diketuai oleh Marzuki Yusuf yang sekali lagi bermain dengan cemerlangnya semalam.

Setelah aksi yang cukup menarik disaksikan, pemain-pemain Terengganu terus memburu gol. Kali ini gol hadir apabila Abdul Manaf yang mendapat bola di kawasan tengah dibentes oleh pemain Pahang tetapi beliau sempat menguis bola tersebut kepada Ismail yang melorongkan cantik kepada Ashaari. Penjaga gol Pahang yang keluar menerpa diperdayakan Ashaari yang membawa bola ke penjuru kiri pintu gol Pahang.

Ruang yang telah tertutup itu dapat dimanfaatkan oleh Ashaari yang merembat secara menyerong melepasi dua pertahanan Pahang yang menunggu di atas garisan gol. Gamat seketika Stadium Darul Makmur yang rata-rata adalah penyokong-penyokong Terengganu.

Pahang yang menyerang sesekali akhirnya mendapat gol saguhati apabila bola tinggi yang ditangkap oleh Sarbini terlepas tangkapan setelah Sarbini bertembung dengan pemain pertahanan Terengganu ketika cuba untuk membuat pendaratan. Bola yang jatuh tepat di kaki pemain Pahang itu terus merembat memberikan gol saguhati untuk Pahang.

Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu berusaha untuk menambahkan gol. Abdul Manaf beberapa kali memperolehi peluang. Satu peluang keemasan apabila beliau membawa bola secara solo dari kawasan tengah dibentes keras oleh pertahanan Pahang setelah dua pemain pahang tersebut tertinggal dengan larian deras oleh Manaf Mamat.

Sepakan percuma sedikit dari luar kotak penalti yang diambil oleh Ashaari tidak mendatangkan hasil. Minit terakhir, peluang sekali lagi diperolehi oleh Abdul Manaf yang terlepas daripada perangkap pertahanan Pahang tetapi merembat serong sipi disebelah tiang kanan gol Pahang.

Pahang yang bermain agak cantik dengan hantaran2 tepat tidak mampu untuk menjinakkan Sang Penyu yang begitu bersemangat untuk mencari 3 mata berharga. Pengadil meniupkan wisel penamat selepas sepakan sudut Ismail Faruqi yang tidak menemui sasaran. Penyokong-penyokong Sang Penyu pulang dengan penuh keceriaan semalam.