MSL 09 PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Sunday, 05 July 2009 11:10

result_ter_per

Kuala Terengganu, 6 Julai – Ketiadaan pemain-pemain utama pasukan Terengganu pada perlawanan menentang Perak semalam memberi kesan apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri satu sama. Pengendali, Ken Worden tidak memiliki kesebelasan terbaik beliau setelah Ketua Pasukan, Marzuki Yusof yang berperanan cukup instrumental ketika menentang Kelantan sebelum ini dan pemain tengah berpengalaman, Tg Hazman Raja Hassan digantung satu perlawanan. Kecederaan yang dialami oleh Azlan Ismail menambah lagi beban untuk pasukan Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang kemenangan pada empat perlawanan terdahulu.

Permainan pada separuh masa pertama bermula dengan perlahan apabila kedua-dua pasukan dilihat terlalu berhati-hati. Corak permainan menakjubkan yang dipamerkan ketika aksi menentang Kelantan tempohari gagal diulangi ketika menentang Perak dengan penguasaan bola hanya berlegar di kawasan tengah padang. Walaupun skuad Seladang rata-rata hanya menurunkan sebahagian besar pemain muda diketuai penyerang prolifik mereka, Razali Umar Kandasamy ternyata dapat mengimbangi saingan pasukan tuan rumah. Terengganu yang menurunkan Che Ku Ahmad Rusydi Amir dan Md Shahrul Hezrain bagi menggantikan Marzuki Yusof dan Tg Hazman seakan bermain sambil lewa dan terlalu yakin. Sebaliknya, barisan muda Perak dilihat tampil lebih kemas dengan hantaran-hantaran yang tepat. Walaupun berseorangan, Razali Umar Kandasamy menepati statusnya sebagai penyerang muda berbisa apabila kerap kali memberi masalah kepada barisan pertahanan yang dikemudikan oleh gandingan Shahrizam dan Che Ku Ruysdi Amir.

Peluang pertama Terengganu hadir pada minit 4 apabila Abdul Manaf Mamat mencipta gerakan dari tengah sebelum melorongkan bola kepada Ahmad Nordin Alias yang bertindak sebagai pemain sayap kanan semalam. Ahmad Nordin yang tenang menggelecek 2 orang pemain pertahanan Perak Berjaya membuat hantaran lintang yang Berjaya disambut dengan sepakan separuh volley oleh Ashaari Shamsuddin. Namun ketangkasan Megat Amir Faisal Berjaya menafikan Ashaari Shamsuddin daripada mencetak nama selaku penjaring gol pembukaan. Selepas daripada percubaan itu, barisan hadapan Terengganu seakan kaku dalam merencana gerakan-gerakan yang lebih menarik dan berkesan. Sebaliknya, pemain-pemain Perak telah dapat mengadaptasi tempo permainan tuan rumah dan berjaya mengatur beberapa siri serangan balas pantas yang hampir-hampir meruntuhkan kubu kawalan Sarbini Allawee Ramli di gawang Terengganu. Usaha para pemain muda Perak akhirnya membuahkan hasil pada minit ke 27 apabila hantaran jauh dari pertahanan berjaya dikawal dengan baik oleh Razali Umar Kandasamy yang kemudian meloloskan diri daripada kawalan lemah Che Ku Rusydi Amir sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru kanan pintu gol Terengganu menewaskan Sarbini Allawee Ramli untuk gol pembukaan perlawanan. Selepas itu permainan bertukar sedikit hambar dengan kedua-dua pasukan banyak membuat kesilapan fundamental seperti hantaran yang tidak tepat dan percubaan yang liar. Pada minit ke 43, Wan Md Alif Jasni hamper-hampir menyamakan kedudukan untuk Terengganu apabila Berjaya menyambut bola hantaran lintang oleh Abdul Manaf Mamat namun percubaan beliau berjaya sekali lagi ditepis oleh Megat Amir Faisal yang sebenarnya agak kurang diuji sebelum itu. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan Perak di hadapan 1 – 0.

Separuh masa kedua menyaksikan perubahan dari segi tempo permainan Terengganu. Ken Worden berjaya menstimulasikan anak-anak buahnya untuk tampil dengan persembahan yang lebih bertenaga bagi memburu gol penyamaan. Hasilnya, 2 minit selepas permainan disambung semula, Abdul Manaf Mamat yang berjaya mempamerkan kawalan bola yang menarik meloloskan diri daripada perangkap ofsaid Perak dan berjaya menggelecek penjaga gol Perak, Megat Amir Faisal sebelum dengan tenang menolak bola kedalam gawang yang terbuka luas. Perak yang tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut dan kebangkitan yang ditunjukkan oleh para pemain Terengganu menyusun kembali formasi dan menukar orientasi mereka kepada corak bertahan. Barisan tengah Terengganu yang dibarisi Zairo Anuar Zalani dan Md Shahrul Hezrain banyak menguasai bola namun ketiadaan gerakan-gerakan penyudah yang berkesan menghampakan para penonton. Aksi longlai kembali dipamerkan oleh Terengganu apabila kebanyakkan gerakan-gerakan yang dijanakan oleh Zairo Anuar Zalani berjaya dihalang oleh benteng Perak dengan efisien. Sebaliknya, Perak hampir sahaja menghukum kealpaan benteng Terengganu apabila tendangan sudut daripada sebelah kanan berjaya ditanduk cantik oleh Isma Alif menewaskan Sarbini Allawee Ramli namun Hariri Md Safi Berjaya menanduk keluar betul-betul di atas garisan gol.

Terengganu kemudiannya melancarkan banyak gerakan-gerakan dalam usaha mencari gol kemenangan namun banteng pertahanan Perak tetap mengekalkan disiplin mereka meletakkan 9 orang pemain dibelakang bola setiap kali pemain Terengganu mengatur gerak. Kemasukan Ismail Faruqi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan panjang menggantikan Ahmad Nordin Alias yang semakin tenggelam tidak banyak membantu apabila barisan hadapan terutamanya Wan Md Alif gagal membaca setiap gerakan yang dicipta.

Keputusan akhir perlawanan, hanya satu mata berjaya dikutip oleh kedua-dua pasukan. M. Karathu sudah tentu menjadi jurulatih yang lebih gembira dengan keputusan ini dan Ken Worden pula harus kembali menganalisis dimana kesilapan dan kelemahan yang ada bagi memastikan dalam baki perlawanan yang tinggal, tiada lagi mata yang tercicir untuk merebut kedudukan liga yang lebih baik.

Perlawanan seterusnya bagi Terengganu adalah menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada 7 Julai 2009.