| MSL 2009 Matchday 5 : Terengganu vs PDRM |
|
|
|
| Written by mamak baik |
| Sunday, 15 February 2009 06:53 |
|
Ashaari Shamsuddin Selamatkan Maruah Terengganu
Kuala Terengganu, 10 Feb 2009: Jaringan Ashaari Shamsuddin pada sepuluh minit sebelum permainan berakhir memberi tiga mata penting kepada Terengganu dalam usaha menempatkan diri dalam keadaan yang lebih selesa dalam kancah Liga Super Malaysia musim 2009 ini. Ternyata mutu persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama agak menghampakan buat peminat-peminat yang datang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketua Jurulatih Terengganu Ken Worden membariskan pemain-pemain yang pada pandangannya mampu membawa keputusan yang diharapkan walaupun ianya terganggu disebabkan oleh kecederaan kepada beberapa orang anggota skuadnya. Buat pertama kali gandingan Marzuki Yusof dan Che Ku Rusdyamir diturunkan musim ini dan persembahan mereka mendapat pujian Worden yang mengharapkan tiada jaringan dilepaskan oleh barisan pertahanannya. Tetapi Worden terpaksa melakukan rombakan di separuh masa pertama apabila pemain tengah Tengku Hazman Raja Hassan terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan 'hamstring' yang pasti akan menambah derita pasukan Penyu itu. Ashaari dimasukkan mengganti Tengku Hazman dan Shahrul Ezrain mengisi posisi pemain tengah walaupun ianya ialah suatu posisi yang agak asing buatnya. Apa yang dirisaukan oleh penonton ialah kegagalan barisan hadapan untuk menyudahkan peluang-peluang yang terhidang di hadapan mereka. Pada suatu ketika Azlan Ismail agak lambat bertindak apabila bola sudah berada di hadapannya di hadapan pintu gol PDRM. Sementara itu Zairo Anuar Zailani juga gagal memanafaat peluang apabila hanya berhadapan dengan penjaga gol sahaja apabila sepakannya terlalu hampir dengan tubuh pemain tinggi lampai itu. Terengganu terus mencipta beberapa peluang walaupun pasukan pelawat cuba mengganggu rentak permainan dengan melengah-lengahkan permainan serta 'lakonan-lakonan' kecederaan oleh pemain mereka.
Kemasukan Wan Mohd Alif Wan Jasmi yang menggantikan Azlan memberi impak yang diharapkan. Barisan serangan Terengganu seperti diberi nafas baru dan Ashaari benar-benar memanafaatkan peluang yang dihidangkan hasil lorongan deras dari Abdul Manaf Mamat yang telah bekerja keras sepanjang perlawanan itu. Beberapa lagi peluang terbuka namun ianya gagal disempurnakan atau berjaya dihalang oleh barisan pertahanan PDRM malam ini. Kemenangan 1-0 akhirnya memadai untuk membolehkan Terengganu mengutip mata penuh dan juga sebagai penguat semangat sebelum bertandang ke Kota Bahru untuk bertemu dengan Kelantan dalam perlawanan seterusnya. |



