MSL 2009 : Matchday 3 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Wednesday, 11 February 2009 03:01

Terengganu FA - UPB-Myteam FC / SSMZA / 10 Jan 09 / 8.45 malam

PENYU IDAM TIGA MATA SULUNG

juki

Kuala Terengganu, 10 Jan – Tewas dalam 2 perlawanan terdahulu memaksa jurulatih, Mohamed Nik mengadun resipi baru sebelum turun dalam perlawanan ketiga, menentang UPB-Myteam FC malam ini. Persembahan kucar-kacir yang dipamerkan dalam perlawanan pembukaan Liga Super tempohari haruslah segera dilupakan oleh para pemain dan menjelang perlawanan malam ini, para peminat mengharapkan kebangkitan semula pasukan Terengganu selaku salah satu pasukan pencabar kejuaraan Liga Super. Segala masalah dan kelemahan yang dilihat tempohari perlulah diatasi jika pasukan Terengganu benar-benar berkeinginan untuk meraih sesuatu musim ini.

 

Namun, UPB-Myteam bukanlah satu pasukan yang perlu dipandang enteng kerana sama seperti Terengganu, pasukan ini juga mempunyai misi untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata berharga setelah dikecewakan oleh pendatang baru, Kelantan. Barisan anak buah Bojan Hodak ini pastinya mahu mengulangi kejayaan Perlis menumbangkan Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Dengan benteng pertahanan yang diperkuatkan oleh Khairunissam Shahabudin dan Bunyamin Omar, barisan hadapan Terengganu diketuai Abdul Manaf boleh menjangkakan cabaran sukar untuk menembusi gawang Syed Adney. Ketajaman Abdul Manaf Mamat yang setakat ini telah pun mengumpul koleksi 2 gol dari 2 perlawanan sudah pastinya akan ditagih manakala Azlan Ismail pula diharapkan dapat memberikan persembahan yang lebih efektif berbanding pada perlawanan sebelum ini. Di benteng pertahanan pula, Sharbinee Allawe perlulah diberi perlindungan yang lebih baik. Gandingan Marzuki Yusof dan Shaharizam serta Muhaimin Omar dan Shahrul Hezrain perlulah lebih kental dan lebih bijak menangani asakan-asakan pihak lawan.

Skuad Terengganu pimpinan kapten, Marzuki Yusof menggalas harapan untuk mengembalikan kepercayaan dan harapan para peminat yang dahagakan sorakan kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Apapun, sebagai jurulatih, Mohamed Nik semestinya mempunyai jawapan dan pasti telah merangka pelan baru untuk membawa Terengganu ke landasan yang betul bermula pada perlawanan malam ini. Ayuh para peminat semua, kita beramai-ramai ke stadium untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan kita. Tiket-tiket dijual pada harga RM10 dan boleh didapati di kaunter stadium.