MSL 2009 Matchday 2 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 08 January 2009 03:14

KL PLUS 2 - TERENGGANU 1

Bobby Gonzalez m7 , Fadli Shaari m92 - Abd Manaf Mamat m80

PENYU HAMPA !
 
Kuala Lumpur, 6 Januari – Harapan para peminat untuk menyaksikan skuad Sang Penyu meraih mata sulung lebur apabila dikecewakan oleh pasukan KL Plus yang dibimbing oleh bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris. Walaupun turun dengan semangat yang berkobar-kobar, namun semuanya seperti tidak menjadi buat pemain Terengganu.

Seperti perlawanan menentang Perlis tempohari, benteng Terengganu bolos di awal permainan apabila pemain berpengalaman, Bobby Gonzales berjaya menjaringkan gol melalui tendangan jarak jauh pada minit ke-7. Gol awal tersebut dilihat menyentap moral para pemain sehingga membolehkan KL Plus menguasai sebahagian besar permainan. Sehingga tamat separuh masa pertama, Terengganu hanya berpeluang membuat satu dua percubaan sahaja dengan pemain kebangsaan, Md Ashaari Shamsuddin hampir menyamakan kedudukan buat Terengganu namun berjaya ditepis dengan cemerlang oleh penjaga gol KL Plus.

Bermula separuh masa kedua, keadaan tidak berubah malah anak-anak buah Mat Zan Mat Aris lebih ghairah menyerang untuk menambah jaringan namun barisan pertahanan yang diketuai oleh Marzuki Yusof tetap bertahan. Percaturan Mohamed Nik untuk memasukkan Wan Aliff Jasmi agak berbaloi apabila penyerang muda itu berjaya menyuntik kembali semangat barisan hadapan dan tengah pasukan Terengganu. Hasilnya, Abdul Manaf Mamat berjaya menambah koleksi jaringan peribadi beliau musim ini apabila berjaya menyambut hantaran lambung dari tengah dengan satu rembatan deras walaupun diasak oleh pemain pertahanan KL Plus.

 

Ternyata, gol tersebut membangkitkan semangat juang pemain Terengganu untuk terus memburu gol kemenangan melalui gerakan-gerakan yang lebih tersusun. Namun, dalam kelekaan mencari gol itu, Sang Penyu telah dihukum sekali lagi melalui tendangan jarak jauh menewaskan Sarbinee Allawe di gawang Terengganu dim init terakhir permainan. Tamat 90 minit, Terengganu menanggung kekalahan kedua musim ini dengan keputusan 2 – 1 di tangan KL Plus. Jurulatih, Mohamed Nik haruslah mencari dan memperbaiki semua kelemahan jika benar-benar berkeinginan untuk menggapai sesuatu buat para peminat Terengganu.

Perlawanan seterusnya bagi Sang Penyu adalah menentang UPB-Myteam di gelanggang sendiri pada Sabtu, 10 Januari. Diharap pada perlawanan berikutnya ini, menjadi titik tolak bermulanya aksi sebenar skuad Terengganu yang sebelum ini dicanang-canang sebagai salah satu pasukan pencabar kejuaraan. Kepada semua peminat bolasepak Terengganu, ayuh ke stadium untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi buat pasukan Terengganu.