LIGA SUPER 2012 : KEMENANGAN DICARI PDF Print E-mail
Written by gg   
Saturday, 14 January 2012 00:23

LIGA SUPER 2012

TERENGGANU VS FELDA UNITED ( 14 Jan 2012, 845 mlm, Stdm Sultan Ismail Nasiruddin Shah)

Kuala Lumpur vs TTeam ( 14 Jan 2012, 845 mlm, Stdm Hang Jebat, Melaka)

 

Terengganu dan TTeam akan turun ke gelanggang dalam perlawanan kedua Liga Super 2012 bertemu lawan masing-masing. Terengganu yang mengalami kekalahan di Stdm Ipoh pada perlawanan pembuka tirai Selasa lalu akan menanti kunjungan Felda United di Stdm Sultan Ismail Nasiruddin Shah manakala TTeam yang menang ke atas Kedah baru-baru ini akan berkunjung ke Stdm Hang Jebat bagi bertemu tuan rumah Kuala Lumpur.

Terengganu yang mendapat khabar gembira setelah FAM mengumumkan tarikh baru bagi pendaftaran pemain import iaitu 13 Februari 2012 pastinya akan turun dengan lebih bersemangat bagi mencari 3 mata pertama musim ini. Namun sebelum boleh menggunakan Francis Doe dan Baiano, tumpuan pasti terarah kepada kelibat 100% anak tempatan bagi mencorakkan permainan Terengganu nanti. Berbekalkan azam yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan, komitmen serta semangat juang yang tinggi perlu diterapkan oleh anak-anak buah Mat Zan Mat Aris dalam usaha merapatkan jurang mata dengan lain-lain pasukan. Kemungkinan besar, kesebelasan utama ketika menentang Perak akan digunapakai, penggendali Terengganu menuntut anak-anak buahnya agar mempamirkan mutu permainan tinggi serta tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

Manaf Mamat dan Hadi Yahya sekali lagi disandarkan untuk menjaringkan gol manakala khidmat Ismail Faruqi belum dapat ditentukan lagi. Andai Ismail Faruqi bebas daripada kecederaan, pastinya kelibat beliau akan digunakan oleh Mat Zan bagi mempertajamkan lagi jentera tengah Terengganu. Namun begitu, pemain-pemain Terengganu tidak boleh sama sekali merendahkan kewibawaan lawan. Ini kerana Felda United mencatatkan kemenangan pertama dalam pertemuan menentang Sabah tempohari. Mereka pastinya akan sedaya upaya mereka untuk mencari satu lagi kemenangan dalam usaha mendaki anak tangga liga. Spidotman yang suatu ketika dulu menjadi bualan penyokong-penyokong Terengganu pastinya akan turun bagi membantu pasukan barunya Felda United. 

Manakala TTeam yang bertandang ke Melaka apabila Kuala Lumpur menjadikan Stdm Hang Jebat selaku 'home' mereka pastinya akan turun juga ingin mencari kemenangan kedua. Berada ditangga teratas setelah menamatkan 1 perlawanan TTeam dilihat mampu untuk menjinakkan Kuala Lumpur. Namun rekod pertemuan sebanyak 8 kali memihak kepada Kuala Lumpur dengan 3 kali mencatatkan kemenangan manakala TTeam hanya mencatatkan 2 kemenangan. Musim lalu ketika beraksi di gelanggang lawan, TTeam dibelasah agak teruk.

Pengalaman kapten baru pasukan TTeam, Zairo Anuar Zalani sedikit sebanyak akan membantu TTeam bagi merencanakan gerakan menarik untuk disudahkan oleh penyerang TTeam Zacharia Simukonda dan juga Fadzli Shaari. Penjaring dua gol ketika mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kedah tempohari, Mohd Faiz Subri sekali ditagih untuk menemui sentuhan gol. Biarpun bermain selaku watak pengumpan namun jaringan cantik beliau pastinya ingin diteruskan lagi. Beliau pastinya bersemangat untuk terus membantu TTeam memungut kemenangan kedua. Simukonda dan Fadzli Shaari sekali lagi dipertaruhkan dan mereka seharusnya menemui sentuhan gol nanti.

Kuala Lumpur walaupun agak terumbang-ambing ketika liga belum dimulakan tidak boleh dipandang ringan. Walaupun menggunakan ramai tenaga baru, mereka juga bersemangat untuk mencari kemenangan. Pemain-pemain TTeam seharusnya berwaspada.

Penyokong-penyokong yang berkelapangan semestinya hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu dan TTeam. Perjuangan akan mereka teruskan dengan kehadiran anda semua bersama-sama mereka. Ayuh warnailah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Stdm Hang Jebat dengan lautan Hitam Putih kebanggaan kita.