|
Setelah membenamkan Pulau Pinang dalam perlawanan kedua TM Piala Malaysia minggu lalu, kini ATM pula akan menjadi tuan rumah kepada Sang Penyu.Amukan 4 gol ketika membelasah PP minggu lalu bakal dijadikan azimat berguna oleh barisan Yunus Aliff untuk sekali lagi menunjukkan kehebatan.Kali ini ATM bakal dijadikan ratahan. ATM yang beraksi dalam Liga Perdana tidak kurang hebatnya apabila berjaya mengikat Kelantan dalam perlawanan kedua minggu lalu dengan keputusan seri 1-1.Tanpa kudrat tenaga import, ATM pastinya turun dengan penuh bersemangat bagai pahlawan negara untuk membuktikan pasukannya bukanlah sebuah pasukan belasahan.Hassan Sazali Waras yang mengemudikan ATM pastinya tidak senang duduk memikirkan strategi untuk membedil Terengganu.
Namun begitu, Yunus Aliff dan juga Mohamad Nik juga tidak kering dengan idea dan juga strategi untuk mempertahankan kubu mereka dari dibedil Si Baju Hijau itu.Kombinasi yang mantap telah diterapkan ketika perlawanan menentang PP minggu lalu.Walaupun begitu, barisan kali ini sedikit berubah setelah ketiadaan Abdul Manaf Mamat yang kini bersama skuad Olimpik negara.Penggantinya adalah bukan calang-calang pemain. Kecederaan yang menimpa bek kiri Terengganu sedikit meresahkan namun pemain lain juga mampu memikul tugas tersebut.Ketajaman sentuhan penyudah Sharlei Lins Mirinda sekali ditagih untuk meledakkan jaringan.Manakala rembatan padu dari luar kotak penalti milik Zairo Anuar juga diperlukan untuk membolosi gawang ATM kali ini.Bukan mereka berdua sahaja yang mampu menghasilkan gol, malah penyerang kebangsaan Norfarhan juga mampu meledakkan jaringan menerusi rembatan kencangnya.Fabio Flor yang menjadi penjaring terbanyak musim lalu, juga boleh mengancamkan kubu ATM walaupun beliau adalah pemain pertahanan.Rata-rata pemain Terengganu mampu menghasilkan gol. Kemasukkan Shahril Zakaria pastinya memberikan tonik baru kepada pasukan.Walaupun agak tenggelam ketika Liga Super minggu lalu, namun hantaran lintangnya masih lagi mempunyai bisa untuk penyudahan tepat oleh Sharlei atau pun Farhan.Asrul juga terus mendapat kepercayaan Yunus Aliff untuk bergerak dari sebelah kanan.Manakala Zairo Anuar Zalani terus diamanahkan untuk menggerakkan jentera tengah Sang Penyu.Kelebihan yang ada pada dirinya juga sangat diperlukan oleh Terengganu untuk menembusi gol ATM. Kekebalan pertahanan Terengganu tidak perlu disangkal lagi apabila gandingan Saiful Rusly,Marzuki Yusuf, Fabio Flor dan Shahrul Ezrain utuh bertahan tanpa melepaskan sebarang gol dalam TM Piala Malaysia ini.Begitu juga prestasi terbaik dari Syamsuri Mustaffa menidakkan segala cubaan dr ATM nanti. Walaupun begitu, keyakinan yang tinggi bakal mengundang padah.Walaupun ATM berada di bahagian bawah Liga Perdana, kejutan mampu dilakukan apatah lagi bermain di gelanggang sendiri.Senjata telah pun ATM sediakan untuk bila-bila masa sahaja mampu menghadirkan kekecewaan kepada Terengganu.Jika Sang Penyu lalai, Si Baju Hijau pasti membedil. Kedua-dua pasukan yang tidak pernah bertemu ini bakal menyajikan aksi yang menarik dan terhibur.Kepada Sang Penyu, ayuh….bulatkan tekad, sematkan keyakinan, kemenangan harus dicari.Kepada ATM selamat menempuh badai amukan Sang Penyu. |