SEO Header Title

Piala Malaysia 07/08: Terengganu lawan Negeri Sembilan PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Thursday, 10 July 2008

PENYU RIANG RUSA MURAM
Terengganu 2 - N Sembilan 0

Kuala Terengganu, 9 Julai – Gandingan pengendali baru pasukan Terengganu, Mohamad Nik dan Che Ku Marzuki ternyata mempunyai resipi baru yang meyakinkan apabila berjaya menghadiahkan kemenangan buat Sang Penyu ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam menerusi persembahan mantap anak-anak buah mereka. Che Hishamuddin Hassan dan Abdul Manaf Mamat berjaya menambah koleksi jaringan masing-masing bagi terus membolehkan pasukan Terengganu terus menghimpit pendahulu kumpulan, Kelantan bagi mengintai slot layak automatik ke peringkat suku akhir.

Walaupun permainan bermula agak perlahan, namun corak permainan secara hantaran-hantaran pendek oleh para pemain Terengganu berjaya menghiburkan para peminat setia pasukan yang hadir berbeza dengan corak permainan hantaran-hantaran jauh yang sering diamalkan ketika dibawah kendalian Ahmad Yunus Aliff. Permainan agak seimbang diantara kedua-dua pasukan namun kekentalan barisan pertahanan yang dipimpin oleh Marzuki Yusof berjaya menidakkan sebarang percubaan oleh barisan pemain Negeri Sembilan sekaligus menutup mulut pengkritik yang sebelum ini mempersoalkan keutuhan barisan pertahanan setelah ketiadaan pemain import Brazil, Fabio Flor yang digugurkan sejurus selepas perlawanan menentang Sarawak tempohari. Kecemerlangan penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli juga berjaya memastikan gawang Terengganu tidak bolos bagi melengkapkan malam gembira bagi para peminat pasukan Terengganu.


Gol pertama Terengganu hadir hasil daripada keadaan kelam kabut dihadapan gol Negeri Sembilan berpunca daripada sepakan sudut. Che Hishamuddin yang tidak dikawal betul-betul di hadapan gawang Sang Rusa bijak melakukan aksi sepakan gunting terus meninggalkan penjaga gol Negeri Sembilan tergapai-gapai. Ketika Lamin Conteh Al Hidayat serta rakan-rakan sepasukannya giat melakukan asakan-asakan untuk mencari gol penyamaan, anak muda Terengganu, Abdul Manaf Mamat menunjukkan ketajaman beliau dihadapan gol apabila bijak mencuri peluang ketika sekali lagi keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Negeri Sembilan hasil percubaan pemain pinjaman, Liew Kit Kong.

Keputusan di akhir permainan, Terengganu memungut 3 mata penuh untuk keseluruhan 10 mata. Seterusnya, Terengganu akan bertandang ke gelanggang Sang Kijang di Stadium Sultan Mohamed ke IV pada hari Sabtu, 12 Julai 2008. Sama-samalah kita terus memberi sokongan tidak berbelah bagi buat pasukan Sang Penyu.

 
< Prev   Next >

Polls

Adakah Yunus Aliff sudah berjaya dalam membawa Penyu musim ini?