|
TERENGGANU lwn KELANTAN 27 JUN 2008 8.45 MALAM STD. SULTAN ISMAIL NASIRUDDIN SHAH, K. TERENGGANU
JAGUH PANTAI TIMUR : ??
Pertembungan menarik dan pastinya sengit dua negeri berjiran, Terengganu dan Kelantan malam esok bakal memberikan satu persembahan mantap bagi menentukan siapakah yang layak bergelar jaguh pantai timur.Kelantan yang menduduki timpat ketiga Liga Perdana musim ini sudah pasti ingin memastikan gelaran jaguh tersebut berpindahmilik namun Terengganu yang dikatakan calon pilihan untuk memenangi perlawanan ini perlu berhati-hati kerana Kelantan bukanlah calang-calang pasukan.
Mahamadou Mustapha nama yang cukup digeruni dalam persada Liga Perdana itu mampu menidakkan hasrat Terengganu untuk mencipta kemenangan di gelanggang sendiri setelah hanya mampu mencatatkan keputusan seri dengan Selangor di bumi Darul Iman dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia.Terengganu kembali ke gelanggang sendiri dengan tonik segar setelah menundukkan Negeri Sembilan di Paroi Selasa lepas.Kemenangan yang tidak dijangka itu memberi seribu semangat kepada para pemain untuk menerusikan aksi kemas dan tersusun bagi meranapkan impian Kelantan memungut 3 mata penuh di Kuala Terengganu.
Kelantan sudah pasti menyandarkan harapan memburu gol kepada pemain import mereka, Mustapha yang juga penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini.Manakala di pihak Terengganu pula, tugas memburu jaringan sekali lagi menjadi tanggungjawab anak muda yang kembali mencari sinar, Abdul Manaf Mamat.Satu gol ketika menundukkan Negeri Sembilan Selasa lalu cukup memberikan beliau semangat dan harapan untuk terus menyumbangkan gol2 untuk Terengganu.Selain penyerang muda tersebut, Terengganu juga menyandarkan harapan kepada pemain pinjaman dari Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong untuk merobek benteng Kelantan sekaligus membolosi gawang lawan.Gandingan Kit Kong - Manaf ini bakal mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Kelantan malam esok.
Tugas berat menanti Zairo Anuar Zalani apabila terpaksa menggerakkan jentera tengah pasukan dengan pasangan baru Nordin Alias setelah Norhisham Haassan dilepaskan oleh PBSNT untuk menabur bakti bersama Polis.Gandingan Zairo-Nordin diharapkan mampu menguasai barisan tengah sekaligus menutup ruang yang ada untuk pemain-pemain tengah Kelantan bermaharajalela.Bekas pemain Terengganu, Rosairil Asrul pastinya dijadikan senjata oleh Kelantan bagi merobek benteng Terengganu.Namun kelicikkannya pastinya mudah dibaca oleh Fabio dan rakan-rakan dibarisan pertahanan.
Penjaring terbanyak SUKMA, Ashaari Shamsuddin pula bakal diberi tugas merobek benteng Kelantan.Di kiri atau kanan tidak mengundang resah dari pemain yang mesra di sapa Saha ini.Dimana-mana pun diletakkan, baik di sayap kiri atau kanan, dia mampu menghadirkan gerun kepada lawan dan mampu menghasilkan jaringan.Awas dengan pemain ini.Manakala di benteng akhir, sudah terbukti Sarbini Allawee masih unggul bergelar penjaga gol nombor satu Terengganu apabila berjaya menidakkan percubaan2 bahaya Negeri Sembilan.Tangan emas milik Sarbini terus ditagih untuk menangkap dan menepis segala asakan Kelantan.
Walaupun begitu, Terengganu tidak boleh memandang rendah keupayaan anak-anak muda Kelantan.Mereka juga berbisa.Badri Radzi, menjaringkan dua gol ketika kelantan menundukkan Melaka Selasa lepas.Anak muda ini tidak boleh dibiarkan.Begitu juga dengan Zairul Fitri, arikitek kebangkitan Kelantan ini juga mempunyai idea-idea bernas untuk menjana gerakan.Semua pemain Kelantan mampu menghadirkan gerun.Awas Terengganu.
Apapun, yang pastinya, perlawanan ini tentunya berlangsung sengit dan hangat.Apatah lagi, sudah lama penyokong-penyokong kedua-dua pasukan menunggu sekian lama untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan berjiran ini.Jika dulu, perlawanan antara keduanya seringkali dicemari dengan pergaduhan, tetapi di era profesional ini, pergaduhan dibuang jauh sebaliknya menerapkan semangat kesukanan.
Ayuh, mari kita semarakkan semangat semua pemain dengan hadir memberi sokongan kepada pasukan kita.Kepada pemain2 Terengganu, langkah jangan sumbang sebaliknya langkahlah dengan berani.Anda mampu memberikan keceriaan kepada semua.Kepada pemain2 Kelantan, selamat bertandang ke Darul Iman. |