|
PENYU CATAT KEMENANGAN SULUNG- TUMBANGKAN RUSA 2-1 Paroi. 24hb. Jun 2008. Biarpun kunjungan sang Penyu ke Paroi kali ini dalam kempen Piala Malaysia 2008, hanya ditemani segelintir sahaja peminat setia skuad hitam putih namun keadaan itu tidak mematahkan semangat juang anak buah Yunus Aliff untuk bangkit memberi tentangan dan mencalitkan duka buat tuan rumah dengan menundukkan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi. Terengganu yang menurunkan dua pemain pinjaman dalam skuad utama iaitu Liew Kit Kong dan Hairul, jelas terpaku dengan serangan awal serta penguasaan berterusan tuan rumah yang mengasak kubu sang pelawat sebaik sahaja wisel perlawanan dimulakan. Gandingan Kit Kong dan Manaf dibahagian depan setelah pemain import daripada Nigeria tidak lagi bersama Terengganu, menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan dan menyaksikan hantaran serta gerakan serba tidak menjadi. Tuan rumah ternyata unggul dengan corak permainan kemas melalui S Kunalan, Lamin Conteh dan Zakuan yang bertindak dengan bijak menyusun atur pergerakan mereka dengan hantaran pendek dan silang yang pelbagai di sebelah kiri serta kanan pertahanan Terengganu. Namun begitu Terengganu menguji seawal minit ke-3 namun sepakan Zairo tidak bertenaga dan tersasar jauh daripada jarak 30m. Ancaman tuan rumah jelas sekali ketara melalui dua ancaman Zakuan serta Kunalan pada minit ke9 ,10 dan 12 tetapi samada tersasar dan satu lagi berjaya dipatahkan oleh pertahanan Penyu.
Hasil daripada asakan berterusan, minit ke20 Shahrul Ezrain dengan tiba2 mengalami kecederaan dan jatuh dalam padang. Kesempatan itu digunakan oleh pemain sayap kanan tuan rumah melarikan bola melalui ruang yang kosong serta meledak laju tetapi bola terkena tiang kiri Penyu. Dalam keadaan kelam kabut, bola yang melantun keluar terkena kepala Muhaimin dan melantun kembali ke dalam gawang Penyu ketika pertahanan muda itu cuba menyelamatkan gawang daripada dibolosi. Selepas gol itu, Ezrain yang cedera teruk digantikan dengan Ahmad Shahril. Ashaari cuba mengurangkan defisit melalui percubaan pada minit ke27 tetapi sepakannya lemah. Seterusnya Jocian pula yang berlari laju meninggalkan pertahanan tuan rumah lalu merembat kencang tetapi berjaya dibaca oleh penjaga gawang Negeri Sembilan dan menepis keluar. Tuan rumah harus menambah gol pada minit ke30 namun percubaan deras barisan depan mereka terkena palang. Hasrat Terengganu untuk menutup ruang pertama perlawanan dengan seri tidak kesampaian apabila percubaan Kit Kong pula tepat ke dakapan penjaga gol Rusa. Separuh masa kedua menyaksikan perubahan daripada permainan Terengganu yang mula mampu menguasai perlawanan dengan hantaran serta gerakan menarik melalui gandingan Ashaari, Zairo, Jocian dan Manaf. Hasilnya pada minit ke7, Manaf Mamat berjaya menjaringkan gol penyaman apabila menerima bola daripada tengah dan menanduk tinggi daripada jarak yang agak jauh tetapi gagal ditepis oleh penjaga gawang Rusa. Serentak dengan itu Penyu terus bertali arus mengasak dan mencuba. Terengganu pula didepan pada minit ke11 apabila Jocian dalam keadaan yang sama menanduk cantik bola lalu ditepis ke belakang dan melepasi garisan gol walaupun bola itu melantun keluar kembali. Kit Kong mencuba lagi pada minit ke 12 tetapi lambungannya tidak tepat. Minit ke14 Hairul menerima kad kuning selepas mengasari pemain tuan rumah. Manaf cuba mencari gol peribadi pada minit ke20 tetapi “tap”nya juga lemah dan tepat ke dapakan penjaga gol lawan. Terengganu selepas itu melakukan dua pertukaran iaitu Marzuki mengantikan Nordin pada minit ke31 dan Ismail mengantikan Jocian pada minit ke43. Jocian menerima kad kuning kerana memperlahankan perlawanan ketika arahan pertukaran pemain dilakukan. Sisa2 perlawanan dikuasai tuan rumah yang mengasak bertali arus ungtuk mencari gol penyamaan melalui asakan2 daripada kanan dan kiri serta memperolehi beberapa sepakan sudut yang gagal diterjemahkan oleh barisan depan mereka. Namun usaha mereka terhenti sebaik sahaja wisel penamat ditiup dan Penyu pulang lega setelah kemarau kemenangan sejak sekian lama. Barisan: Sabi, Muhaimin, Fabio, Hairul, Yeng (Shahril), Jocian (Ismail), Zairo, Nordin (Marzuki), Saha, Manaf, Kit Kong |