SEO Header Title

Bolasepak : SUKMA ke 12 Terengganu 2008 PDF Print E-mail
Written by Geng Ganu   
Monday, 09 June 2008
EMAS MILIK TERENGGANU

K.Trg - Kilauan emas menyinari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam apabila skuad bolasepak Terengganu mengekalkan kilauan tersebut apabila dengan bergaya menundukkan pencabar baru, Perlis dengan jaringan besar 5-1.Kemenangan besar tersebut diraih apabila Wan Mohd Aliff membuka tirai jaringan seawal minit ke 19 apabila rembatan padunya dari sebelah kanan pintu gol Perlis menyilang ke sebelah kiri sekaligus mematikan langkah penjaga gol Perlis.Gol tersebut menyemarakkan semangat anak-anak didik Khalid Mohd Dahan untuk menggandakan asakan.Permainan cantik dan menghiburkan ditonjolkan oleh kesemua pemain Terengganu yang lebih banyak mendominasikan perlawanan akhir tersebut.
Dengan sokongan padu dari penyokong-penyokong Terengganu yang memenuhi setiap inci ruang tempat duduk Stadium Sultan Mizan itu, Terengganu menggandakan jaringan.Kali ini, wira ketika menentang Kedah dalam separuh akhir, Ashaari Shamsudin menambah duka Perlis apabila merembat kencang dari kiri pintu gol Perlis menyerong ke kanan, terkena tiang dan masuk menerjah jaringan untuk jaringan kedua Terengganu.

Gegak gempita Stadium baru yang boleh memuatkan 50 000 orang itu dengan sorakan gemuruh para penyokong Terengganu menyambut gol kedua daripada Ashaari Shamsudin itu. Gulungan demi gulungan ombak terus dilakukan merayakan gol tersebut.

Tanpa di sangka, Ismail Faruqi pula tampil menambah sengsara Perlis apabila sepakan percuma dari kotak penalti yang diambilnya, mudah menerjah jaring apabila lolos daripada benteng yang dibina pemain-pemain Perlis untuk gol ketiga Terengganu. Pemain-pemain Terengganu seolah-olah tidak berpuas hati dengan jaringan tersebut, asakan demi asakan terus digandakan namun pengadil perlawanan meniupkan wisel tamat separuh masa pertama.

Terengganu bermula garang di separuh masa kedua apabila melancarkan gerakan yang cukup tersusun untuk menambah jaringan.Tidak cukup dengan 3 gol, pemain-pemain Terengganu terus memukau benteng pertahanan Perlis dengan lenggok gerakan yang menawan serta gerakan yang tersusun rapi.Hasilnya, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain Perlis dengan geram menjatuhkan Wan Aliff yang cukup lincah memperdayakan bek Perlis berjersi 13 itu.Tertunduk hampa bek Perlis tersebut. Abdul Manaf Mamat diberikan tanggungjawab itu untuk merembat kencang ke sebelah kanan sambil penjaga gol Perlis menerbangkan diri ke kiri.Sekali lagi gegak gempita stadium Sulan Mizan Zainal Abidin meraikan gol keempat Terengganu.

Menyedari telah banyak gol yang dijaringkan, pemain-pemain Terengganu mengendurkan asakan dan dilihat banyak memberi ruang kepada pemain-pemain Perlis untuk mengaturkan gerakan.Perlis tidak menghampakan apabila berjaya mencuri satu gol hasil rembatan dari jarak dekat oleh pemain liga super mereka iaitu Azmizi Azmi. Tersentak dengan gol tersebut, pemain-pemain Terengganu yang diketuai oleh ketua pasukan, Ahmad Shahril Zakaria memperkemaskan benteng, barisan tengah dan juga serangan untuk menambah sengsara Perlis. Dengan niat untuk memecahkan rekod jaringan perlawanan akhir SUKMA, pemain-pemain Terengganu sekali lagi mempamirkan aksi bermutu. Abdul Manaf Mamat muncul penjaring terakhir Terengganu apabila bola yang dibawanya secara solo memperdayakan bek Perlis sebelum menyilang ke kiri pintu gol Perlis untuk sama sekali menewaskan penjaga gol Perlis. Gol tersebut sekali lagi membuatkan stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bergegar dengan sorakan ribuan penyokong-penyokong Terengganu. Kedudukan 5-1 itu seolah-olah tidak puas bagi penyokong-penyokong Terengganu yang meminta pemain-pemain Terengganu meneruskan ancaman untuk mencari gol keenam.Semangat dan komitmen pemain ingin diteruskan namun pengadil perlawanan meniupkan wisel menandakan kilauan emas milik Terengganu.

Kepuasan dan juga kelegaan terpancar di raut wajah pemain-pemain dan juga penyokong-penyokong Terengganu ketika pingat emas dikalungkan oleh Pengerusi Pemangku Raja menandakan IBU SEGALA EMAS itu terus disimpan kemas di bumi Darul Iman.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada seluruh pemain dan juga pengurusan skuad SUKMA Terengganu 2008 dan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang membanjiri stadium dari awal saingan sehinggalah kepada perlawanan akhir semalam. Semoga kilauan emas ini diteruskan di Melaka kelak.
 
Next >

Polls

Adakah Yunus Aliff sudah berjaya dalam membawa Penyu musim ini?