Kuala Terengganu, 2 Februari – Tirai pusingan pertama Liga Super Malaysia musim 2007/2008 bakal berlabuh pada malam ini dengan skuad Penyu bakal menerima kunjungan Sang Rusa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Dengan pasukan Kedah selaku pendahulu liga berehat pada malam ini, perlawanan yang akan berlangsung di gelanggang keramat pasukan Terengganu ini mempunyai signifikannya yang tersendiri bagi kedua-dua pasukan. Ketua jurulatih Terengganu, Yunus Aliff pastinya mahukan tiga mata penuh malam ini bagi mencerahkan kembali peluang pasukannya untuk membawa pulang kejuaraan liga, satu-satunya kejuaraan yang belum pernah dikecapi oleh skuad pantai timur itu. Untuk misi yang lebih peribadi pula, pastinya Yunus Aliff mahu menutup suara-suara nakal yang mengatakan kekalahan di tangan Perak tempohari berpunca dari kesilapan taktikal beliau. Sedikit sebanyak, tumpuan para peminat dan pemerhati bolasepak tempatan pasti terarah kepada bagaimana Yunus Aliff mencorakkan strategi dan taktikal perlawanan bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan tersebut. Di kem Negeri Sembilan pula, Wan Jamak Wan Hassan pasti mahukan persembahan terbaik anak-anak buahnya bagi merapatkan defisit perbezaan mata dengan pendahulu liga, Kedah, dari lima mata kepada tiga.
Pakar Fisioterapi bagi pasukan Terengganu pula memberikan khabar gembira kepada para penyokong Terengganu apabila mengesahkan semua pemain berada didalam keadaan cukup cergas bagi menghadapi saingan Negeri Sembilan dan ini pastinya memberikan kelegaan kepada Yunus Aliff terutamanya dengan kepulangan penyerang yang pernah bermain untuk Negeri Sembilan, Che Hishamuddin Che Hassan yang baru sahaja pulih sepenuhnya dari kecederaan. Tatkala barisan serangan Terengganu dilihat longlai dan tidak bermaya ketika bertandang ke Ipoh, kepulangan Che Hishamuddin diharap dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pasukan, lebih-lebih lagi dengan pengalaman luas yang dimilkinya. Kecuali Norfarhan Mohamad yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan, Yunus Aliff mempunyai barisan pemain yang lengkap untuk dipilih bagi mengisi kesebelasan utama.
Negeri Sembilan pasti akan turun mengharapkan persembahan cemerlang pemain kebangsaan, Aidil Zaquan Adha untuk merobek benteng Terengganu. Kepantasan dan ketajaman beliau ditambah pula dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pemain sayap kiri, S.Kunalan haruslah diberi perhatian sepenuhnya oleh barisan pertahanan Terengganu yang dijangkakan akan mengekalkan gandingan Fabio Flor dan Marzuki Yusof. Kekebalan benteng Terengganu bakal teruji malam ini oleh barisan hadapan Negeri Sembilan yang sebelum ini telah berjaya menembus gawang lawan sebanyak 18 kali. Bagi pemain Terengganu kelahiran , Gleisson Jorge De Souza Freire pula, kemarau gol yang sedang menghantui diri beliau ketika ini diharapkan akan berakhir malam ini. Apapun, dari padang latihan pasukan Terengganu petang semalam menggambarkan kesungguhan dan komitmen oleh semua pemain untuk memperagakan aksi terbaik mereka untuk perlawanan malam ini. Dengan keadaan cuaca yang diramalkan baik dan keadaan padang yang semakin baik, diharapkan agar kedua-dua pasukan dapat menghidangkan persembahan yang mempersonakan bagi kepuasan para penyokong kedua-dua pasukan.
Kepada para penyokong Terengganu, diharapkan agar dapat turun beramai-ramai memenuhkan setiap pelusuk stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Terengganu. Tiket-tiket berharga RM20 bagi tempat duduk berbumbung dan RM10 untuk tempat duduk terbuka dan telahpun mula dijual. Kepada pasukan Terengganu, diucapkan selamat berjuang.