SEO Header Title

MSL 07/08 Matchday 3 : PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Monday, 17 December 2007



Kuala Terengganu, 17 Disember – Hari ini skuad Liga Super Terengganu akan bertolak ke Pulau Mutiara untuk bertemu Skuad Harimau Kumbang bagi meneruskan musim Liga Super 2007/2008 yang akan membuka kembali tirainya pada 18 Disember 2007 setelah berehat hampir sebulan bagi memberi laluan kepada temasya Sukan Sea di Korat, Thailand. Pertemuan yang dijadualkan di Stadium Bandaraya pada malam esok ini akan menyaksikan pertembungan dua pasukan yang mempunyai misi berlainan. Pulau Pinang yang masih gagal untuk mengutip sebarang mata pada dua perlawanan sebelum ini pastinya mahu bangkit dari permulaan buruk mereka manakala Terengganu yang masih segar dengan kejayaan membenam Sarawak dengan margin yang besar tempohari pastinya menginginkan tiga mata penuh untuk menghambat pasukan Polis yang gah berada di persada liga.

Tewas 2-1 kepada Polis di gelanggang lawan dan tersungkur di laman sendiri ketika melayan Pahang, pengendali skuad Harimau Kumbang, gandingan Mohammad Bakar dan Moey Yoke Ham mengakui bahawa walaupun Pulau Pinang mempamerkan permainan yang menarik dan menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan barisan penyerang menidakkan sebarang mata untuk dikutip. Masalah yang sama juga dihadapi Yunus Aliff namun ketika barisan hadapan Terengganu dilihat agak kurang efektif, barisan tengah mereka lebih produktif dan mampu untuk menampung kekurangan itu. Malah, ketajaman pemain pertahanan import Terengganu, Fabio Flor yang setakat ini telah menjaringkan dua gol dari dua perlawanan pastinya melegakan jurulatih yang juga pernah melatih pasukan Pulau Pinang itu

Di kem Pulau Pinang, walaupun tanpa pemain import, tumpuan pastinya akan diberi kepada pemain yang memakai jersi no. 10, Farizal Rozali, yang telahpun menunjukkan peningkatan ketara. Kepantasan dan kelicikan beliau haruslah diberi perhatian oleh barisan pertahanan Terengganu. Walaupun hanya menjaringkan satu gol setakat ini, beliau merupakan nadi penggerak serangan Pulau Pinang dalam dua perlawanan terdahulu. Pemain muda yang sedang meningkat naik, Azrul Ahmad pula mampu menjadi pemusnah impian Terengganu sekiranya dibiarkan bebas. Pakar sepakan lencong, Zairo Anuar Zalani akan menjadi harapan kem Terengganu untuk merencana gerakan ditengah bersama-sama Jocian Bento Dos Anjos. Dua gol dalam dua perlawanan adalah statistik yang cukup mengagumkan bagi seorang pemain pertahanan tengah. Fabio Flor, pemain pertahanan dari Brazil adalah pemain yang cukup bahaya ketika situasi bola mati dan jika beliau mampu untuk meneruskan kecemerlangan beliau, tidak ada sebab mengapa Terengganu tidak boleh mengutip tiga mata disana.


Pastinya, pertembungan malam esok ini akan menjadi medan pertempuran yang sengit bagi dua pasukan yang mempunyai dua misi berbeza. Dijangkakan Pulau Pinang bakal turun dengan formasi kegemaran mereka, 4-5-1 dan barisan kesebelasan utama mereka pasti turun dengan keazaman untuk mengembalikan haluan pasukan mereka ke landasan yang betul. Para pemain Terengganu tidak perlu gentar sebaliknya hanya perlu menumpu perhatian untuk menunjukkan tahap permainan masing-masing yang sebenar dan mengelakkan sebarang kelekaan yang boleh membawa padah. Walaupun bermain di gelanggang lawan, Pahang telahpun membuktikan bahawa Pulau Pinang tidak kebal disana.Diharapkan para pemain Terengganu dapat mempamerkan aksi permainan terbaik mereka dan semoga tiga mata menjadi milik Terengganu. Kami di GSN, mengiringi skuad Terengganu dengan doa agar kejayaan menjadi milik pasukan Terengganu. Teruskan berjuang, kami bersamamu.


Barisan Kemungkinan:

Pulau Pinang - Farizal Rozali, Ahmad Norafandy Yatim, Zulhisyam Jamaluddin, M.Prakash, V.Jaganathan, Ng Kok Heng, Mat Saiful Mohamad, A.Muniandy, K.Puvinderan, Zailani Jaafar dan S.Shankar (Penjaga Gol).

Terengganu - Gleisson Jorge De Souza Freire, Che Hishamuddin , Ashaari Shamsuddin, Zairo Anuar Zalani, Jocian Bento Dos Anjos, Abdul Manaf Mamat, Shahrul Hezrain, Fabio Flor, Marzuki Yusof, Mohd Mohaimin Omar, Shahrizan Ismail (Penjaga Gol).


Eezmo@BilikBeritaGSN2007

 
< Prev   Next >

Polls

Adakah Yunus Aliff sudah berjaya dalam membawa Penyu musim ini?