Kuala Terengganu, 9 Disember – Peluang untuk jurulatih Skuad Liga Super Terengganu, Yunus Aliff (gambar) untuk mengesan setiap kelemahan pasukannya bakal menjelma apabila Terengganu bakal diuji oleh anak buah Norizan Bakar, Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok, 10 Disember 2007. Perlawanan ini boleh dianggap sebagai perlawanan balas setelah kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Kota Bharu tempoh hari. Apapun, tumpuan pastinya tearah kepada prestasi ayam import Terengganu dari Brazil, Gleisson Jorge De Souza Freire,25, yang semakin hari semakin hangat diperkatakan terutamanya mengenai kualiti yang dipamerkan oleh beliau yang dianggap kurang setanding berbanding Shirlei Lins Mirandha, bekas pemain import Terengganu musim lalu. Ketika rakan-rakan senegaranya iaitu Fabio Flor dan Jocian Bento Dos Anjos yang sudah mula memikat hati para peminat dengan persembahan yang menghiburkan, Gleisson pula dilihat tidak seperti yang diharapkan. Seharusnya, perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung malam esok ini tidak dapat tidak, menjadi medan terbaik bagi beliau untuk membuktikan setiap tanggapan negatif itu adalah salah.
Jurulatih Terengganu, Yunus Aliff (gambar kiri) dan pembantunya, Mohamad Nik (gambar tengah) berpeluang untuk menerap idea baru dalam perlawanan malam esok. Manakala, Ashaari Shamsuddin (gambar kanan) menjadi harapan utama memburu gol.
Pertembungan antara dua pasukan pantai timur ini juga menjanjikan sesuatu yang menarik apabila Kelantan juga bakal menurunkan penyerang import barunya dari Senegal, Mustafa disamping penampilan Albertini Diego Alberto dari Argentina dan Jan Necas dari Slovakia di barisan pertahanan. Persembahan cemerlang Albertini Diego Alberto menghalang percubaan dari barisan serangan Terengganu tempohari pastinya akan ditagih oleh Norizan Bakar dan pertembungannya dengan Gleisson yang terdesak kini untuk membuktikan kemampuannya, pasti akan menjadikan perlawanan persahabatan malam esok ini sesuatu yang istimewa. Dan berita keampuhan Mustafa merobek barisan pertahanan Perlis ketika Kelantan menang besar 4-1 di Kangar menjadikan perlawanan ini merupakan peluang terbaik bagi Yunus Aliff untuk menguji kewibawaan pemain-pemain muda di barisan pertahanan seperti Che Ku Rusydiamir dan Mohd Mohaimin Omar untuk merasai pengalaman mengekang penyerang sehebat itu. Ini merupakan latihan simulasi paling wajar untuk menilai kemampuan anak-anak muda Terengganu ini sebelum mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk merantai mesin-mesin penjaring gol Liga Super seperti Marlon Alex James dari Kedah, Mohd Lamin Conteh Al Hidayat untuk Negeri Sembilan, Philimon Chipeta untuk Perlis dan ramai lagi.Bagi kem Terengganu, ini adalah peluang terbaik bagi Yunus Aliff untuk menguji formasi serta idea-idea baru yang boleh diaplikasikan kedalam perlawanan sebenar.
Bagi semua pemain pula, peluang ini haruslah digunakan untuk mempamerkan aksi terbaik masing-masing. Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, namun perlawanan ini boleh digunakan untuk menjadi tanda aras sejauhmana persembahahan mereka terutamanya kepada mereka yang dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini diketepikan untuk sekadar memanaskan bangku simpanan. Sekurang-kurangnya, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mewujudkan persaingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Para peminat dan penyokong bolasepak Terengganu yang dahagakan aksi bolasepak tempatan diharap dapat memenuhi stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan Terengganu. Perlawanan bakal dimulakan jam 8.45 malam dan harga tiket adalah RM3 untuk setiap tempat duduk. Ayuh, marilah kita beramai-ramai ke stadium. Kepada kedua-dua pasukan, semoga satu perlawanan yang menarik dapat ditonjolkan. Majulah bolasepak untuk negara.