SEO Header Title

PERLAWANAN PERSAHABATAN : TERENGGANU 0 - KELANTAN 0 PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Sunday, 02 December 2007

TUMPUL!


Kota Bharu, 1 Disember – Tempoh rehat saingan Liga Super bagi memberi laluan kepada Sukan Sea di Korat telah digunakan sebaiknya oleh pihak pengurusan Pasukan Terengganu untuk mengadakan siri-siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi pasukan Terengganu. Dan semalam telah berlangsung siri pertama dimana pasukan Skuad Liga Super Terengganu telah bertandang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, untuk menentang pasukan yang bakal beraksi di pentas Liga Premier, Kelantan. Tiket masuk adalah percuma dan para penyokong bolasepak Kelantan telah menggunakan peluang ini untuk hadir beramai-ramai ke stadium untuk menyaksikan sendiri sejauh mana kehebatan pemain-pemain import yang diuji oleh pengurusan Kelantan.

Perlawanan bermula dengan Yunus Aliff menurunkan kesebelasan utama yang hampir sama dengan kesebelasan yang turun menentang Sarawak tempohari. Che Ku Rusydiamir terus mendapat kepercayaan Yunus Aliff di posisi pertahanan kanan dan Mohd Saufi Ibrahim pula mendapat peluangnya untuk bergandingan dengan Gleisson Jorge De Souza Freire di hadapan. Dengan Zairo Anuar Zalani dan Jocian Bento Dos Anjos bertindak ditengah, dan gandingan Kapten, Marzuki Yusoff dan Fabio Flor di benteng pertahanan, ternyata tidak banyak eksperimen yang direncanakan oleh Yunus Aliff. Ditambah pula dengan kecederaan yang menimpa Alif Afifi dan Che Hishamuddin, Yunus Aliff tidak mempunyai banyak pilihan di barisan hadapan.

Awal babak pertama menepati ramalan ramai dengan penguasaan permainan oleh pasukan Terengganu. Zairo Anuar Zalani ternyata meneruskan rentak cemerlang beliau musim ini dengan merencanakan gerakan-gerakan dan menguasai bahagian tengah. Namun, malang sekali gerakan-gerakan tersebut gagal diterjemahkan kepada jaringan akibat kelesuan jentera serangan. Mohd Saufi Ibrahim dilihat lebih banyak mengejar bola dan gagal untuk berinteraksi dengan rakan di hadapan, Gleisson. Kelantan pula lebih mengharapkan serangan balas yang pantas dan rangkaian penyerang Kelantan dilihat lebih menyerlah dengan beberapa percubaan bahaya namun kerap dihampakan oleh kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Che Ku Rusydiamir, Marzuki Yusof, Shahrul Hezrain mahupun Fabio Flor. Dan pada minit-minit akhir babak pertama, Kelantan hampir dihadapan namun jaringan yang dibuat melalui tandukan itu telah dibatalkan oleh pengadil akibat kekasaran yang dilakukan oleh pemain Kelantan keatas penjaga gol muda, Sarbinee Allawee Ramli. Melihat kepincangan Mohd Saufi Ibrahim, Yunus Aliff memasukkan Abdul Manaf Mamat bagi menambah sengat barisan depan dan kemasukan beliau merubah sedikit corak permainan Terengganu namun masih belum mampu untuk memecah kekebalan benteng Kelantan yang diterajui oleh awang import daripada Argentina . Babak pertama tamat dengan kedudukan terikat 0 – 0.

Babak kedua bermula dengan Kelantan lebih dahulu mencuri tumpuan dengan mengasak kearah pintu gol Terengganu. Rosairil Asrul Md. Nor telah dimasukkan bagi menggantikan Ismail Faruqi bagi menyusup masuk ke bahagian kanan sebelum Jocian Bento Dos Anjos pula dibawa keluar untuk giliran Norhisham Hassan pula beraksi. Gandingan Zairo – Norhisham masih lagi mampu untuk mengawal kawasan tengah namun persembahan longlai Gleisson yang masih belum mempamerkan prestasi sebenar beliau ternyata mengecewakan para peminat terutamanya peminat Terengganu yang hadir semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan. Kelantan pula memasukkan ramai pemain import untuk diuji namun juga masih gagal untuk memecah kebuntuan. Melihat Ashaari Shamsuddin yang agak keletihan, Yunus Aliff membuat pertukaran terakhirnya dengan memasukkan Ahmad Shahril Zakaria menggantikan penyerang tersebut. Babak kedua ini menyaksikan penguasaan seimbang namun Kelantan lebih banyak membuat percubaan. Kekebalan benteng pertahanan kedua-dua pasukan memastikan hanya keputusan seri 0-0 menjadi catatan di wisel penamat.

Untuk siri perlawanan persahabatan yang berikutnya, dikhabarkan Terengganu akan berkunjung ke Kuantan pula untuk melayan pasukan Kelab Shahzan Muda. Untuk maklumat lanjut sila layari forum GSN. Dan jaNgan lupa, pada hari Khamis, 6hb Disember, Ganusoccer.Net akan menganjurkan Kejohanan Boling Tertutup GSN di Pusat Bolin TER, Kuala Terengganu. Datanglah beramai-ramai memeriahkan suasana. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.ganusoccer.net/forum/index.php/topic,2834.0.html.

 
< Prev   Next >

Polls

Adakah Yunus Aliff sudah berjaya dalam membawa Penyu musim ini?