|
PENYU RATAH BUJANG SENANG
SSINS, Rabu 21 November 2007 .. Kemenangan yang amat ditagih oleh para peminat akhirnya berjaya juga diperolehi dengan kemenangan besar 4-0 ke atas pasukan Sarawak. Sejak awal permainan, kelihatan pemain-pemain muda Sarawak langsung tidak mampu untuk menyaingi para pemain Terengganu. Kehadiran penyokong yang dianggarkan sekitar 2-3 ribu sahaja tidak sesekali melemahkan semangat para pemain untuk bermati-matian mencari kemenangan pertama musim ini sekaligus mengekalkan SSINS sebagai gelanggang keramat pasukan.
Yunus Alif ternyata berani membuat perubahan drastik dalam kebelasan utama dengan memasukan Che Ku Ahmad Rusydiamir menggantikan Saiful Rusly dibahagian bek kanan. Terengganu memulakan serangan bertali arus dari sebelah kanan dan kiri bagi memecahkan kubu Sarawak.
Peluang terbaik bagi gol pertama hadir apabila Glession yang hanya berhadapan satu sama satu dengan penjaga gol Sarawak namun gagal apabila menyepak bola jauh dari sasaran. Seminit selepas itu beliau sekali lagi mengecewakan para peminat apabila hantaran cantik dari Jocian tidak berjaya ditanduk dengan kemas.
Terengganu terus mengasak pihak lawan dan keberanian Ashaari Shamsuddin menggelecek beberapa orang pemain lawan hampir memberi gol pertama. Namun sepakannya terkena tiang tetapi Glesion yang berada berhampiran tidak mampu berbuat apa-apa.
Ketika Terengganu menyerang bertali arus, sedikit kealpaan membolehkan pemain Sarawak masuk ke kawasan Terengganu. Hantaran bola dari sebelah kiri terus menuju kepada penyerang Sarawak yang tidak dikawal dalam petak penalti, namum Terengganu bernasib baik kerana tandukan tersebut gagal menepati sasaran.
Percubaan demi percubaan dilakukan namum tetap gagal mencari gol awal. Banyak peluang keemasan terlepas begitu sahaja kerana kegopohan pemain barisan depan yang gagal menyudahkan peluang yang terhidang.
Minit ke 33, akhirnya gol yang dicari tiba. Anak muda Ashaari Shamsuddin berjaya memahat nama sebagai pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol di SSINS pada musim ini.
Selang 2 minit selepas itu, hantaran dari Glession berajya disudahkan dengan baik oleh Che Hishamudin bagi memberi gol kedua pasukan Terengganu.
Gandingan Zairo dan Jocian dibahagian tengah begitu serasi dengan kawalan bola dan hantaran yang kemas dan menarik.
Separuh masa kedua, Terengganu bermula garang bagi menambahkan koleksi gol. Jika tidak kerana kegopohan Gleison yang sekali lagi berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sarawak, mungkin Terengganu akan menambahkan jaringan. Namun percubaannya gagal.
Serangan bertali arus pasukan Terengganu mencemaskan barisan pertahanan Sarawak. Jocian dijatuhkan diluar petak penalti. Zairo yang diamanahkan bagi mengambil sepakan percuma itu berjaya melaksanakan tugas tersebut. Sepakan terus ke dalam gol menghasilkan gol ke-3 pasukan terengganu.
Rentak perlawanan sedikit kendur selepas gol ke-3 tersebut. Kelihatan beberapa orang pemain kelihatan keletihan. Yunus Alif mengeluarkan Ashaari Shamsuddin dan menggantikan dengan Ahmad Shahril Zakaria bagi merancakan kembali permainan.
Mohd Saufi Ibrahim kemudian dimasukkan bagi menambahkan ketajaman barisan serangan. Peluang demi peluang yang hadir dilepaskan begitu sahaja oleh barisan serangan Terengganu. Gleison menjadi mangsa kemarahan penonton apabila gagal sekali lagi menyudahkan peluang yang terbuka di depan mata.
Ismail Faruqi dimasukan menggantikan Asrul namun kemasukan beliau gagal mengubah rentak perlawanan. Ketika para peminat berasakan tiada lagi tambahan gol akan diperolehi.. pemain pertahanan tinggi lampai Terengganu, Fabio berjaya menjaringkan gol ke-4 melalui tandukan hasil sepakan sudut yang diambil oleh Zairo.
Yunus Alif sekali lagi membuat sedikit perubahan taktikal dengan kapten pasukan, Marzuki Yusof bertukar tempat dengan Che Ku Ahmad Rusydiamir. Satu percubaan lencong dari Ismail Faruqi hampir memberikan tambahan gol, namun sepakan cantik beliau hanya sedikit melewati palang gol.
3 minit tambahan masa, tiada gol yang berjaya dihasilkan. Pengadil kemudian meniup wisel penamat dengan Terengganu berjaya dalam misi mencari kemenangan besar 4-0 ke atas Sarawak.
Barisan serangan yang kelihatan kehilangan punca dalam menterjemahan serangan sebagai gol menjadi punca Terengganu gagal mencari jaringan yang lebih besar pada malam ni. Namun kemenangan 4-0 ditempat sendiri sekurang-kurangnya menjadi pembakar semangat dalam mengharungi liga super pada musim ini.
Liga akan berehat panjang dan akan disambung kembali pada 18/12/2007 dengan Terengganu akan bertemu dengan Penang di sana.
|