|
TERENGGANU AKAN BANGKIT !
Kuala Terengganu, 20 November - Perlawanan Liga Super antara Terengganu menentang Sarawak di Stadium Ismail Nasiruddin Shah malam esok mempunyai signifikan tersendiri bagi kedua-dua pasukan. Permulaan yang mengecewakan bagi kedua-dua pasukan, perlawanan ini bakal menjadi medan penting bagi memulihkan moral dan semangat para pemain. Terengganu yang masih lagi tersentap dek sengatan Sang Lebah pasti mahukan keramat dan tuah gelanggang sendiri untuk mengembalikan pasukan kepada landasan yang betul manakala bagi Sarawak yang gagal menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri Ahad lalu, pasti juga mahu bangkit.
Segala kelemahan dan kesilapan ketika bertemu Johor FC haruslah dikenalpasti dan dibaiki segera oleh pengendali pasukan Terengganu, Yunus Aliff jika benar-benar mahukan pasukannya pulang dengan sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Barisan pemain yang diturunkan oleh beliau ahad lalu nampak masih tidak bersedia terutamanya bagi pemain import dari Brazil, Gleisson Jorge De Souza Freire yang begitu banyak melepaskan peluang-peluang keemasan. Walaupun masih di peringkat awal musim, namun itu tidak seharusnya menjadi sebab untuk bersikap sambil lewa dan alasan pemain belum panas hanyalah sembang-sembang kosong kerana seharusnya setiap pasukan mestilah mengadakan persiapan yang rapi dan terancang.
Apapun, diharapkan agar pasukan Terengganu dapat bangkit pada perlawanan menentang Sarawak malam esok. Tetapi, Yunus Aliff haruslah berhati-hati dan memastikan setiap pemain tidak terlalu yakin dalam menghadapi cabaran anak-anak muda Sarawak ini kerana kelak boleh memakan diri. Barisan pemain yang bakal diturunkan mungkin tidak banyak berbeza dari kesebelasan utama ketika bertemu Johor FC. Jocian Bento Dos Anjos yang dilaporkan beraksi dengan agak cemerlang bersama-sama Zairo Anuar Zalani tempohari pasti ditagih untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam merangka gerakan-gerakan ke arah pintu gol Sarawak kelak. Gleisson yang agak tumpul tempohari haruslah menmanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk memikat hati para peminat Terengganu yang rata-rata begitu dahagakan kelibat pemain import yang benar-benar mantap seperti yang pernah mereka lihat pada Frank Pastor, Marlon Van Der Sander dan Mohammed Kahn sedikit masa dahulu. Jika musim lalu Azdraai Khor telah membuktikan bahawa keberanian beliau menggunakan bakat-bakat baru dalam skuad Kedah telahpun membuahkan hasil yang memberangsangkan, tidak salah rasanya jika Yunus Aliff juga mengambil langkah sebegitu kerana Terengganu tidak pernah ketandusan bintang-bintang baru. Pemain-pemain muda seperti Ismail Faruqi, Aliff Afifi, Mohd Mohaimin Omar dan Che Ku Rusydiamir seharusnya boleh menjadi penyumbang yang bermakna kepada pasukan.
Bagi para peminat pula, apa yang penting, tiga mata haruslah menjadi milik Terengganu malam esok. Di Kuala Terengganu, seorang peminat setia pasukan Terengganu ketika ditanya, Shariman Abd Rahman, 26, berpendapat perlawanan malam esok penting bagi Terengganu untuk menaikkan moral pasukan dan moral peminat. Tambahnya lagi, perlawanan malam esok juga penting buat Gleisson untuk menambat hati peminat dan penyokong Terengganu dan beliau harus membuktikan pembelian beliau adalah berbaloi. Ramalan beliau tentang keputusan malam esok adalah Terengganu 2 Sarawak 0. Bagi Wan Sharizie Wan Ramli, 21, beliau yakin Terengganu mampu beroleh kemenangan. Tetapi mengharapkan agar pasukan tidak lalai dan leka disaat akhir. Bagi peminat yang sedang bertugas di Lembah Klang ini, para pemain perlu fokus dan beliau meramalkan kemenangan 3 -0 keatas Sarawak. Berdasarkan rekod lama, Terengganu mampu menjinakkan Bujang Senang, tambah beliau lagi.
Bagi semua peminat bolasepak Terengganu, pasukan Terengganu amat mengharapkan kehadiran anda semua ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi memberi semangat kepada para pemain. Ayuh, marilah kita beramai-ramai ke stadium malam esok. Perlawanan akan bermula pada jam 8.45 malam. Tiket-tiket akan mula dijual pada sebelah pagi esok . Untuk ruang teres, harga tiket adalah RM10 dan untuk Grandstand, tiket berharga RM20. Untuk para pemain, selamat berjaya. Teruskan berjuang, kami bersamamu.
Eezmo@BilikBeritaGSN 2007 |