SEO Header Title

LIGA SUPER : TERENGGANU 1 - JOHOR FC 2 PDF Print E-mail
Written by Eezmo   
Monday, 19 November 2007

SENGAT SANG LEBAH TERLALU BERBISA BUAT SANG PENYU

Pasir Gudang, 19 November - 3 mata yang diharapkan untuk dibawa pulang dari Pasir Gudang tidak menjadi kenyataan apabila Terengganu ditewaskan oleh Johor FC dalam perlawanan pembukaan kedua-dua pasukan. Perlawanan telah berlangsung dalam keadaan padang yang licin dan air bertakung berikutan hujan lebat yang turun sejak petang lagi.Terengganu bermula dengan baik apabila gandingan Zairo Anuar Zalani dan Jocian Bento Dos Anjos berjaya mencipta gerakan-gerakan menarik untuk memecah kubu pertahanan Johor FC. Hasilnya, pada minit ke 3, melalui satu tendangan sudut yang diambil oleh Zairo Anuar Zalani dari sebelah kanan pintu gol Johor FC, pemain import pertahanan dari Brazil, Fabio Flor berjaya menguis masuk bola untuk gol pertama Terengganu.

Babak pertama perlawanan terus memperlihatkan penguasaan seimbang kedua-dua pasukan namun Terengganu lebih menyerlah dengan pelbagai gerakan-gerakan yang membahayakan tetapi kerap dihampakan oleh penyudah yang tumpul oleh barisan hadapan yang diterajui oleh Gleisson Jorge De Souza Freire dan Ashaari Shamsuddin. Johor FC pula lebih kerap mengatur gerak serangan balas yang pantas dalam usaha mereka untuk mencari gol penyamaan namun kerapkali percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Terengganu dan kekebalan Shahrizan Ismail, penjaga gol yang baru sahaja behijrah ke Terengganu dari Perlis. Peluang-peluang untuk Terengganu menambah jaringan terus terhidang namun kegagalan Gleisson untuk beraksi pada tahap terbaiknya menjadi punca utama peluang-peluang tersebut berlalu begitu sahaja. Ashaari Shamsuddin juga banyak mensia-siakan peluang termasuklah peluang terbuka satu lawan satu dengan penjaga gol Johor FC yang berjaya diselamatkan. Babak pertama tamat dengan Terengganu di hadapan.

Bermula babak kedua, Johor FC mengubah rentak perlawanan untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata boleh diperolehi dengan melancarkan lebih banyak gerakan-gerakan melalui gandingan ayam tambatannya, Walter Ariel Da Silva dengan pemain kebangsaan, Eddy Helmi Abdul Manan, menyaksikan Johor FC menguasai sebahagian besar perlawanan. Kegagalan barisan tengah untuk beraksi cemerlang seperti di babak pertama juga telah memberi ruang kepada pemain-pemain Johor FC untuk bermaharajalela di bahagian tengah dan seterusnya memberi tekanan kepada barisan pertahanan Terengganu terutamanya dibahagian kiri dan kanan pintu gol. Hasilnya, Johor FC memperolehi satu sepakan penalti apabila seorang pemain Johor FC telah dijatuhkan di dalam kotak penalti menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan pintu gol Terengganu dan telah berjaya disempurnakan oleh Walter Ariel Da Silva bagi gol penyamaan pasukan tuan rumah. Kehadiran gol penyamaan yang amat-amat ditunggu oleh para penyokong tuan rumah itu telah menyemarakkan lagi semangat para pemain mereka manakala di kem Terengganu, para pemain seolah-olah hilang punca dan semakin tenggelam. Johor FC terus mengasak dan mencipta peluang-peluang untuk mencari gol kemenangan namun peluang-peluang mereka dihampakan oleh penyudah-penyudah yang tersasar.

Menyedari keadaan semakin genting, Yunus Aliff mengeluarkan Jocian Bento Dos Anjos dan memasukkan Che Hishamuddin bagi menukar haluan permainan. Namun, persefahaman yang kurang antara Gleisson dan para pemain Terengganu memberi ruang yang luas untuk dieksploit oleh pemain pasukan tuan rumah yang menguasai sebahagian besar babak kedua. Yunus Aliff terus mencuba nasib dengan mengeluarkan Ashaari Shamsuddin untuk digantikan dengan Mohd Saufi Ibrahim bagi menambah ketajaman di barisan hadapan namun percaturan ini dilihat kurang menjadi kerana Terengganu terus diasak dan ditekan oleh pemain Johor FC yang lebih bersemangat. Ketika perlawanan menuju ke wisel penamat dan satu mata seakan berjaya dicuri oleh Terengganu, kelekaan barisan pertahanan Terengganu menyaksikan Walter Ariel Da Silva berjaya menanduk masuk gol kemenangan Johor FC untuk memastikan 3 mata menjadi milik mereka. Di wisel penamat, Johor FC ceria, Terengganu pulang hampa.

Eezmo@BilikBeritaGSN

 
< Prev   Next >